Projek rumah terbengkalai zaman BN diselamatkan

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Sebanyak 64 projek terbengkalai membabitkan 29,811 unit kediaman berjaya diselamatkan Kerajaan Negeri Selangor dari Mac 2008 hingga Jun 2016.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar negeri, Datuk Iskandar Abdul Samad, berkata projek diselesaikan itu adalah masalah ditinggalkan kerajaan Barisan Nasional sebelum ini.

Katanya, kerajaan negeri juga tidak mengeluarkan hak milik baru untuk projek terbengkalai sehingga kini.

“Bagaimanapun, yang berlaku adalah pindah milik daripada pemilik asal kepada pemaju penyelamat sama ada dengan persetujuan pemilik tanah asal atau diputuskan mahkamah bagi kes pemaju asal digulungkan,” katanya dipetik SelangorKini.

Beliau menyatakan demikian ketika menjawab pertanyaan Tiew Way Keng (DAP-Teratai) pada persidangan DNS, semalam.

Pada masa sama, ujarnya kerajaan negeri melalui cadangan LPHS akan mengenakan tindakan penguatkuasaan bagi memastikan hak pembeli terhadap hartanah mereka terjamin.

Katanya, tindakan rampasan tanah boleh dibuat sekiranya wujud pelanggaran peruntukan di bawah Kanun Tanah Negara (KTN) 1965 seperti kegagalan membayar cukai tanah di bawah Seksyen 100 KTN dan pelanggaran syarat di bawah Seksyen 129 Kanun sama.

“Antara polisi kerajaan negeri bagi menjaga kepentingan pembeli rumah projek sakit ini ialah membantu pembeli menubuhkan jawatankuasa bertindak supaya tindakan diambil dapat diselaraskan dengan pihak berkuasa dan sekurang-kurangnya 85 peratus persetujuan daripada pembeli diperlukan.

“LPHS juga mengeluarkan surat pengesahan projek terbengkalai supaya pembeli dapat berurusan dengan bank menstrukturkan semula atau pengurangan bayaran bulanan daripada pembiaya atau bank,” katanya.

Beliau berkata LPHS juga mengadakan perbincangan dengan pelikuidasi terbabit bagi mencari kaedah terbaik dalam memulihkan projek terbengkalai.

Tambahnya, ia membabitkan perbincangan antara pelidukasi bersama semua jabatan teknikal seperti Pejabat Tanah, Pihak Berkuasa Tempatan, Syabas, TNB, IWK dan agensi berkaitan termasuk pihak bank bagi tujuan mempercepatkan pemulihan projek disamping mengenakan syarat minimum.

Share on Myspace