Pelajar Krabi ditawar belajar di Kelantan

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan menawarkan tempat di sekolah Yayasan Islam Kelantan (Yik) kepada pelajar Muslim di Krabi tanpa dikenakan yuran.

Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, kerajaan negeri menawarkan kepada mereka belajar di sekolah-sekolah agama di Kelantan.

Katanya, mereka dikecualikan bayaran yuran kecuali keperluan sara hidup sepanjang belajar di sini.

“Kita kemukakan tawaran itu ketika mengunjungi hormat Majlis Agama Islam Krabi dalam lawatan sambil belajar ke Krabi baru-baru ini,” katanya di sini.

Jawatankuasa Hal Ehwal Tanah (JHET) Negeri Kelantan baru-baru ini mengadakan seminar pengurusan tanah di Krabi, Thailand di samping menganjurkan lawatan sambil belajar.

Pada kunjungan tiga hari itu rombongan kerajaan Kelantan yang diketuai Timbalan Menteri Besar turut mengunjungi hormat Pejabat Gabenor Krabi dan melawat pusat pemulihan dadah secara Islam.

Krabi sebuah wilayah terletak di pinggir pantai Laut Andaman, selatan Thailand. Lebih 50 peratus daripada 400,000 penduduknya beragama Islam.

Di Krabi juga ada Jawatankuasa Islam Krabi. Di Thailand terdapat sembilan jawatankuasa atau Majlis Agama Islam.

Mohd Amar berkata, pada peringkat awal kerajaan Kelantan menawarkan tempat di sekolah menengah agama Yik sebelum dilanjutkan ke pusat pengajian lebih tinggi.

“Kita juga mengundang Majlis Agama Islam Krabi melawat Kelantan bagi merapatkan lagi hubungan sedia terjalin,” ujarnya.

Pada kunjungan itu juga rombongan kerajaan Kelantan melawat pusat pemulihan dadah secara Islam di sebuah pulau di Krabi yang mempunyai seramai 1,300 pelatih.

“Mereka tawarkan kaedah itu untuk digunakan di Kelantan. Kita boleh perkasakan lagi Baitul Taubah di Pasir Puteh,” katanya.

Ditanya lawatan itu dengan kapasiti 130 peserta boleh membebankan kewangan kerajaan, kata Mohd Amar, lawatan sambil belajar dan seminar itu hanya membabitkan kos kira-kira RM60,000.

Katanya, kos tersebut hampir serupa dengan apa yang dibelanja ketika seminar dan lawatan sambil belajar diadakan di Pulau Pinang dan Selangor sebelum ini.

Menurutnya perancangan membuat lawatan dan seminar di Krabi dipersetujui ketika seminar diadakan di Pulau Pinang.

“Kita rancang buat lawatan ke Krabi pada 2014. Bagaimanapun pada akhir 2014 berlaku banjir besar. Jadi kita tumpu menyelesaikan masalah banjir terlebih dahulu.

“Lagi pun JHET ada bajet khusus bagi tujuan itu bagi mencari pengalaman baru di negeri-negeri lain,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 3/8/2016

Share on Myspace