Panama Papers: Integriti politik dan ekonomi Malaysia

HARAKAHDAILY | .

Kebocoran data penting firma guaman Mossack Fonseca & Co. atau lebih dikenali sebagai isu ‘Panama Papers’ pada bulan April lalu telah memberikan implikasi penting terhadap dunia bisnes ‘offshore’. Ia seolah-olah satu transaksi bisnes yang tersirat melibatkan pelbagai aset-aset terkemuka tokoh di dunia. Malaysia juga tidak terkecuali apabila lebih seribu klien termasuk VVIP turut tersenarai dalam rekod transaksi dengan firma guaman tersebut. Persoalannya, adakah ia salah?

Menurut International Consortium of Investigative Journalists (ICIJ), walaupun kebanyakan transaksi bisnes tersebut dilihat sah, namun ia melibatkan dakwaan skandal ekonomi politik yang serius. Pelbagai jenayah yang kemungkinan berlaku menerusi entiti bisnes ‘offshore’ sepertimana yang terdapat dalam Panama Papers antaranya penggubahan wang haram, mengelak daripada kenaan cukai dan konflik kepentingan. Contoh impak politik yang telah berlaku adalah perletakan jawatan Perdana Menteri Iceland beberapa minggu yang lalu.

Berdasarkan data-data yang dilaporkan daripada pelbagai sumber seperti The Straits Times dan The Financial Times, nama-nama VIP termasuk yang berkaitan dengan tokoh politik negara telah didedahkan. Jika aspek perundangannya adalah sah, adakah moralnya juga begitu? Majoriti rakyat bimbang sekiranya pelbagai jenayah boleh dilakukan dengan menggunakan ‘vehicles’ syarikat ‘offshore’ di luar negara, adakah industri ‘offshore’ di Malaysia juga boleh terselamat daripada bahaya itu?

Cadangan pemansuhan WP Labuan sebagai ‘Pulau Bebas Cukai’ akan memberikan dampak yang besar terhadap ekonomi dan perundangan negara. Namun, ia juga boleh dipertimbangkan sekiranya dapat mengurangkan lebih banyak mudarat. Sebaliknya juga, jika ia diteruskan untuk menjadi destinasi ‘tax haven’, kerajaan perlu mengambil kira pelbagai faktor semasa termasuk ancaman teroris, kongsi gelap, korupsi termasuk perkembangan siasatan dakwaan skandal kewangan 1MDB yang sedang dilakukan lebih daripada 8 buah negara.  

KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
29 Syawal 1437 | 3 Ogos 2016 - HARAKAHDAILY 3/8/2016

Share on Myspace