TG Abdul Hadi hadir sidang Ulamak Sedunia di Turki

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Turki menjadi tuan rumah Persidangan Lembaga Pemegang Amanah Kesatuan Ulamak Islam Sedunia kali ke-4 bagi sesi 2014-2018 yang berlangsung 3 hingga 6 Ogos.

Persidangan yang dipengerusikan oleh Sheikh Dr Yusuf Al-Qaradhawi selaku Presiden turut dihadiri Naib Presiden Kesatuan itu, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang kini telah berada di sana.

Menurut laman web Kesatuan Ulamak Islam Sedunia - Asia, persidangan di bawah seliaan Sheikh Dr Ali Al-Qurrah Daghi selaku Setiausaha Agung itu bakal dihadiri anggota majlis pemegang amanah serta para pemerhati dan tetamu.

Antara acara yang dinanti-nantikan dalam persidangan ini adalah perbincangan mengenai isu ummah terutamanya di Palestin, Syria, Iraq, Mesir, Yaman, Libya, Turki, Bangladesh, Myanmar, Kashmir dan lain-lain isu yang sepatutnya menjadi tumpuan dunia Arab dan dunia Islam, serta isu-isu global berkaitan.

Persidangan kali ini bakal menyaksikan beberapa pertemuan, seminar akademik dan golongan muda serta umum dianjurkan dengan kerjasama majlis perbandaran Konya dan Kesatuan Ulamak Islam Sedunia.

Turut hadir Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi yang merupakan Ketua Lajnah Antarabangsa, Ketua Lajnah Antarabangsa Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP), Ustaz Muhammad Ismi Mat Taib, serta setiausaha Lajnah Antarabangsa PAS Pusat, Muhd Faiz Nawi.

Share on Myspace