Nak jadi hero lupakan saja, kata Iskandar kepada Noh

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar diminta tidak berlagak ‘hero’ dalam isu Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Selangor.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bandar dan Kehidupan Bandar negeri, Datuk Iskandar Abdul Samad, berkata ini kerana Kerajaan Negeri Selangor sudah membelanjakan jutaan ringgit untuk membaik pulih PPR demi keselesaan rakyat ekoran kediaman itu tidak terurus sejak diambil alih daripada Barisan Nasional (BN).

“Saya tegaskan bahawa kerajaan negeri sudah membelanjakan hampir RM8 juta untuk membaik pulih PPR ini dan bukannya kita baiki PPR guna wang sewa.

“Wang sewaan tidak dapat menampung kos baik pulih penyelenggaraan,” katanya ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Kerajaan Negeri bersama penjawat awam di Shah Alam.

Baru-baru ini, Noh memberitahu pihaknya akan menghantar surat rasmi kepada kerajaan Negeri bagi memohon mengambil alih pengurusan dan penyelenggaran bangunan PPR di Selangor.

Ahli Parlimen Tanjung Karang itu berkata, langkah terbabit kononnya sebahagian daripada transformasi serta pendekatan baharu kementerian dalam pengurusan PPR selepas melihat kegagalan kerajaan negeri dalam menguruskan PPR di Lembah Subang 1.

Mengulas lanjut, Iskandar menzahirkan rasa kesal di atas sikap Noh yang bermain politik dalam kebajikan rakyat.

“Nak jadi hero, lupakan saja.

“Kita boleh berbincang dengan menteri sebelum ini dan juga timbalan menteri. Tetapi nampaknya menteri sekarang ini lebih kepada politik 100 peratus. Jadi, beliau kena insaf,” katanya dipetik SelangorKini.

Dalam mesyuarat Jabatan Perumahan Negara tahun lalu, Kerajaan Persekutuan mencadangkan untuk mengambil alih pengurusan PPR seluruh Malaysia.

Iskandar berkata, kerajaan negeri bersedia untuk ‘memulangkan’ tetapi Kerajaan Persekutuan perlu mengembalikan wang dibelanjakan sebanyak RM8 juta sebelum ini.

“Kerajaan negeri banyak menanggung dan menyelesaikan masalah BN. Contohnya, projek perumahan terbengkalai dan program baik pulih rumah kos rendah yang menelan kos sebanyak RM33 juta,” katanya.

Share on Myspace