PRU14: Cari formula 'satu lawan satu' jatuhkan BN

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Parti pembangkang disaran supaya berusaha mencari formula pertandingan 'satu lawan satu' menentang Barisan Nasional (BN) pada Pilihan raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

Ketua Pengarah Pilihan raya PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, berdasarkan kajian dan analisis Jabatan Pilihan raya PAS (JPP) Pusat, pertandingan 'satu lawan satu' adalah cara terbaik untuk menghilangkan kuasa Umno BN yang memerintah hari ini.

"Kalau pertandingan melawan BN lebih daripada 'satu lawan satu', ia memberi laluan mudah kepada Umno BN untuk terus berkuasa.

"Ini tidak bagus kerana menjadikan Umno BN lebih angkuh dan terus melakukan penyelewengan dan menyalahgunakan kuasa yang melemaskan rakyat," ujarnya kepada Harakahdaily, pagi ini.

Menurutnya, untuk mewujudkan pertandingan 'satu lawan satu' melawan BN itu, tidak semestinya parti-parti pembangkang berada dalam satu gabungan sahaja sebagaimana yang ditunjukkan pada beberapa siri PRU yang lalu.

Beliau menambah, oleh kerana PRU14 dijangka berlaku lebih awal daripada tempoh yang sepatutnya pada 2018 nanti, maka parti-parti pembangkang perlu berusaha mencari formula tersebut.

"PRU14 dijangka diadakan tidak lewat daripada 2017, maka parti pembangkang mesti berusaha mencari formula pertandingan 'satu lawan satu' menentang BN. Inilah prioriti parti-parti pembangkang sekarang," ujarnya yang menyokong kenyataan Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Abdullah berhubung perkara itu.

Harakahdaily sebelum ini menyiarkan saranan Mohd Amar yang berkata perlu ada 'under standing' kalangan pembangkang seperti yang berlaku sebelum ini dalam misi menafikan penguasaan BN.

Katanya status quo kerusi yang ditandingi sebelum ini hendaklah dikekalkan biarpun tiada pakatan pembangkang seperti dahulu.

“Apabila pembangkang mempertahankan status quo lama kita dapat fokus untuk berdepan satu lawan satu dengan BN pada PRU14 nanti.

“Kalau ada kalangan pembangkang yang berminat untuk mengacau kerusi seperti dipertahankan sebelum ini, ia boleh memberi kemenangan lebih mudah kepada BN,” katanya di Kota Bharu.

Mustafa menambah, rakyat sekarang semakin tertekan akibat penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa oleh Umno BN yang terus memerintah dengan beberapa isu seperti 1MDB, GST dan sebagainya.

Katanya, bukan sahaja golongan marhaen seperti petani, nelayan, peniaga kecil dan lain-lain yang sengsara akibat pengurusan ekonomi negara yang pincang, bahkan masalah pengangguran termasuk dalam kalangan lepasan universiti yang berjumlah puluhan ribu turut terkesan.

"Ini adalah kesan yang sangat parah kerana tidak ada pengurusan ekonomi dan good governance dalam negara yang diperintah Umno BN sekarang," ujarnya lagi.

Tambahnya, dengan kuasa yang ada, menyebabkan Umno BN terus melanggar prinsip federalisme dengan memberi tekanan dan penindasan terhadap negeri-negeri yang diperintah oleh parti yang tdak sealiran dengan kerajaan Pusat.

"Ini pernah berlaku di Terengganu yang diperintah oleh PAS pada PRU 1999 apabila Kerajaan Pusat tarik balik bayaran royalti petroleum kepada kerajaan negeri, terus menafikan royalti petroleum kepada Kelantan.

"Akhir-akhir ini, wujud peningkatan tekanan kepada Selangor. Ini adalah sebahagian daripada penyalahgunaan kuasa oleh Umno BN," katanya.

Justeru, tegas beliau Umno BN perlu dijatuhkan pada PRU14 nanti dan pihak pembangkang mesti berusaha mencari formula pertandingan 'satu lawan satu'. - HARAKAHDAILY 4/8/2016

Share on Myspace