Persidangan Kesatuan Ulama Sedunia di Turki buka tirai

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Persidangan Lembaga Pemegang Amanah Kesatuan Ulamak Islam Sedunia kali ke-4 bagi sesi 2014/2018 membuka tirai semalam, 3 Ogos 2016, dengan disambut oleh tuan rumah serta kehadiran para ulamak, ahli akademik, para pemikir serta orang awam dari dalam dan luar negara Turki.

Majlis perasmian persidangan tersebut anjuran majlis perbandaran Konya telah dimulakan dengan bacaan ayat suci Al-Quran serta diikuti dengan ucapan Presiden Kesatuan Ulamak Islam Sedunia, Sheikh Dr Yusuf Al-Qaradhawi, yang telah menegaskan bahawa kesatuan dan para ulamaknya akan sentiasa menyebelahi kebenaran serta menentang kebatilan walau apa pun jua harganya.

Memetik laporan web Kesatuan Ulamak Islam Sedunia - Asia, beliau juga turut menekankan kepentingan penyatuan para ulamak dunia Islam serta menyediakan platform praktikal buat mereka supaya dapat berkhidmat kepada ummah khususnya serta manusia sejagat amnya.

Setiausaha agung kesatuan, Sheikh Dr Ali Al-Qurrah Daghi, dalam ucapannya turut berkongsi pendapat sambil berkata Kesatuan dan para ulamaknya memainkan peranan penting dalam memenangkan kebenaran serta para pendukungnya; sebagaimana komitmen kesatuan apabila menjadi antara pihak paling awal menyatakan pendirian membantah cubaan rampasan kuasa di Turki dengan mengeluarkan kenyataan rasmi seawal 1 pagi ketika insiden itu sedang memuncak serta sebelum akhirnya cubaan itu berjaya dipatahkan.

Katanya, dalam kenyataan kesatuan ketika insiden itu, Kesatuan Ulamak Islam Sedunia menegaskan bahawa mereka bersama-sama rakyat Turki, kebebasan mereka, syariat yang ditegakkan dalam merealisasikan keadilan sejagat serta berdepan dengan kezaliman mereka yang zalim.

Dalam ucapannya juga, Setiausaha Agung Kesatuan itu juga menjelaskan bahawa skop organisasi itu meliputi semua isu ummah terutamanya isu Palestin, Al-Quds dan Al-Aqsa, serta memenangkan kebenaran di Mesir, Libya, Yaman, Syria, Iraq, Bangladesh, Kashmir, serta segenap wilayah yang mana kehidupan dan keamanan umat Islamnya ditekan atau diancam.

Di samping itu, Sheikh Dr Ali Al-Qurrah Daghi juga telah membentangkan laporan aktiviti kesatuan bagi tempoh bermula Disember 2015 hingga hujung Julai 2016.

Majlis perasmian itu juga telah memberi laluan kepada ucapan yang disampaikan oleh Rektor Universiti Necmettin Erbakan, Konya serta ucapan tuan rumah yang telah mengalu-alukan pihak kesatuan dan para ulamaknya atas pendirian teguh mereka bersama-sama kebenaran dan kebebasan awam.

Majlis akhirnya ditutup dengan ucapan Datuk Bandar Konya yang turut mengalu-alukan kehadiran wakil pelbagai negara serta berkongsi tentang sejarah bandar Konya yang subur dengan ilmu, ilmuwan dan keamanan sambil turut menzahirkan harapan mesej keamanan sejagat dapat disebarkan bukan sahaja di Turki malah ke seluruh dunia.

Majlis perasmian kelmarin telah mendapat liputan meluas dari agensi berita Al-Jazeera, saluran televisyen TRT serta saluran televisyen Konya yang telah menyiarkan siaran langsung majlis.

Begitu juga liputan dari agensi berita Anatolia serta lain-lain wakil pemberita, saluran radio, wakil-wakil akhbar, majalah antarabangsa dan tempatan, serta rangkaian berita elektronik.

Share on Myspace