WIEF mesti sasar selesai cabaran ekonomi ummah

HARAKAHDAILY | .

Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada Presiden Republik Indonesia, Joko Widodo kerana telah menganjurkan program berprestij Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) yang bermula sejak kelmarin.

Saya turut menyokong saranan beliau supaya seluruh negara Islam bersatu menggembleng dan memanfaatkan keunikan demografi ummah untuk menempuh cabaran dunia yang semakin kritikal terutamanya dalam aspek penguasaan media serta teknologi.

Malaysia dan Indonesia antara negara yang mempunyai populasi Muslim yang ramai. Secara tidak langsung, ia memberikan gambaran sebenar kedudukan semasa taraf sosio-ekonomi umat Islam.

Namun, ia tidak boleh digeneralisasikan kerana masih banyak negara Islam terutamanya di Asia Tengah, Afrika dan Timur Tengah bergelut dengan kondisi yang lebih memilukan. Pemasalahan ini yang mesti disasarkan supaya kekuatan ekonomi dan politik negara umat Islam dilihat seimbang dan berpengaruh.

Saya turut menyokong pandangan beberapa perwakilan negara di WIEF termasuk Malaysia yang tegas menolak sebarang intervensi kuasa luar terhadap kedaulatan negara-negara Islam.

Pengalaman di Iraq, Afghanistan, Libya dan Syria telah mengajar kita bahawa campur tangan luar terutamanya daripada Amerika serta Rusia telah meranapkan struktur-struktur negara. Namun, pada masa yang sama negara-negara Islam yang sedang membangun juga digesa untuk mengurangkan pergantungan terhadap kuasa-kuasa Barat.

Saya mengalu-alukan pelbagai perkongsian agenda WIEF yang lebih cenderung kepada topik-topik bisnes, pasaran modal dan galakan perdagangan. Walaupun begitu, kita juga harus peka terhadap pemasalahan utama ekonomi dunia hari ini.

Antara cabaran ekonomi dunia yang turut membelenggu negara-negara Islam ialah jaminan sekuriti makanan yang disebabkan oleh peningkatan populasi mendadak menjelang 2050, kesenjangan pendapatan dalam dan luar negara, kualiti penjagaan kesihatan dan migrasi akibat daripada konflik dalam negara.

Sebagai contoh, migrasi umat Islam dari negara-negara konflik ke negara-negara Barat seperti Jerman, Sweden, United Kingdom dan Denmark telah memberikan impak besar terhadap sosio-ekonomi negara berkenaan.

Berdasarkan statistik, kebanyakan migran umat Islam disinonimkan dengan peningkatan kadar jenayah, liabiliti ekonomi dan ancaman teroris. Hal ini memberikan tamparan besar terhadap maruah umat Islam yang semakin tertekan. Kini, Jerman khususnya berdepan dengan penentangan terbuka terhadap migrasi Muslim yang berjumlah kira-kira 4.76 juta orang.

Saya amat berharap agar semua negara anggota WIEF memberikan fokus lebih utama terhadap cabaran semasa umat Islam global berbanding usaha untuk merancakkan bisnes dan perdagangan semata-mata.

Kesan mudarat yang dihadapi oleh ummah lebih besar dan pergolakan ini mesti diselesaikan secara tuntas dengan solidariti seluruh negara-negara Islam yang sedang membangun.

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat
1 Zulkaedah 1437 | 4 Ogos 2016 - HARAKAHDAILY 4/8/2016

Share on Myspace