Berbeza pandangan hukum wang loteri MCA untuk Umno

HARAKAHDAILY | .

PEMIMPIN PAS BERBEZA PANDANGAN TERHADAP HUKUM WANG LOTERI MCA UNTUK UMNO (4 OGOS 1952)

PADA hari ini dalam tahun 1952, akhbar Utusan Melayu telah menyiarkan konflik kepemimpinan yang berlaku dalam PAS ekoran perselisihan pendapat dua pemimpin tertinggi PAS dalam isu penerimaan wang loteri MCA oleh Umno. Yang Dipertua PAS, Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan telah berbeza pendapat dengan Timbalan Yang Dipertua PAS, Ustaz Haji Ghazali Abdullah yang kemudiannya menjadi polemik di media massa. Yang menarik, Ustaz Haji Ghazali Abdullah adalah seorang tokoh Umno Perak, sedangkan Tuan Guru Haji Ahmad Fuad adalah penyokong Dato' Onn Jaafar di dalam Umno sebelum bekas pemimpinan utama Umno keluar dari parti nasionalis sekular itu pada 26 Ogos 1951.

Ada asalnya, isu ini timbul kerana usaha MCA Kuala Lumpur yang diketuai HS Lee untuk memujuk Dato' Razak Yahya, pemimpin Umno Kuala Lumpur mengadakan kerjasama MCA-Umno dalam Pilihan Raya Bandaran Kuala Lumpur yang akan diadakan pada 16 Februari 1952. MCA telah membiayai kempen Umno dalam pilihan raya yang memenangkan mereka untuk sembilan daripada 12 kerusi. Kesan daripadanya, Umno dan MCA mula membentuk satu perikatan politik. Prof Ramlah Adam berkata Umno 'dibeli' oleh MCA apabila parti Cina itu menawarkan sumbangan hasil Loteri MCA sebanyak $500,000.00 kepada Umno untuk melatih orang Melayu dalam bidang perniagaan, setelah MCA gagal memperalatkan Dato' Onn Jaafar melalui Parti Kemerdekaan Melayu (IMP).

"Dengan itu Umno dan Tunku Abdul Rahman tidak terlepas daripada manipulasi MCA. Parti MCA dan Chinese Chambers of Commerce telah menggunakan pengaruh (wang loteri)nya untuk memujuk dan mengambil hati Umno," komen Ramlah Adam. MCA juga dikatakan akan menggunakan wang loteri untuk menyelamatkan sebuah bank Melayu, akhbar Majlis milik orang Melayu dan membantu perpindahan pejabat Tunku Abdul Rahman dari Province Wellesly ke Johor Bahru, selain turut membantu dana pembinaan Ibu Pejabat Umno di Kuala Lumpur. Atas sebab itu, Dato' Onn Jaafar telah mencadangkan kepada Majlis Undangan Persekutuan supaya loteri diharamkan. Menurut Prof Nik Anuar Mahmud, pemberian MCA sebanyak setengah juta ringgit itulah yang menyebabkan Umno menerima kerakyatan jus soli yang diminta oleh MCA sehingga merugikan orang Melayu hari ini.

Masalah menerima wang hasil judi loteri anjuran MCA oleh Umno dan orang Melayu telah menjadi perdebatan hukum dalam PAS. Pada 23 Julai 1952, Utusan Melayu telah menyiarkan pendapat Tuan Guru Haji Ahmad Fuad yang mengatakan ia adalah harus kerana wang haram apabila berpindah tangan kepada pihak kedua ia menjadi halal berdasarkan Mazhab Maliki. Ustaz Haji Ghazali yang merupakan ahli Umno pula berpendapat wang tersebut adalah haram kerana kita mengetahui sumbernya yang haram iaitu judi loteri. Pendapat Ustaz Haji Ghazali Abdullah yang berbeza ini disiarkan oleh Utusan Melayu pada 4 Ogos 1952. Kerana pertentangan pendapat dalam soal penerimaan wang hasil judi ini, Ustaz Haji Ghazali Abdullah mulai meninggalkan perjuangan PAS dan ia menimbulkan konflik kepemimpinan yang disifatkan oleh seorang wartawan, Bakhtiar Djamily sebagai "Persatuan Islam menghadapi dugaan."

Pada tahun 1951, para ulamak dalam Bahagian Agama dan Pelajaran Umno telah bertindak menubuhkan PAS pada 23 Ogos 1951, yang disebabkan kemarahan ulamak terhadap tindakan Umno menganjurkan Loteri Umno bagi membiayai pembinaan Ibu Pejabat Umno di Kuala Lumpur. Para ulamak Umno telah berfatwa bahawa ia adalah haram, sehingga Yang Dipertua Jabatan Agama Islam Johor, Ungku Ismail Abdul Rahman mengatakan Umno telah tergelincir daripada al-Quran dan Sunnah. Isu judi loteri inilah yang menyebabkan ulamak menubuhkan PAS. Setelah ulamak berpisah dari Umno, parti sekular itu telah mengambil pemberian MCA untuk "membeli" orang Melayu dalam soal kerakyatan. Perbezaan pendapat para ulamak PAS adalah perkara biasa, tetapi ia adalah simbol keprihatinan ulamak terhadap kemungkaran.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
4 Ogos 2016 - HARAKAHDAILY 4/8/2016

Share on Myspace