Dadah: Cegah segera secara bersepadu

HARAKAHDAILY | .

Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) pada Khamis lalu menyatakan bahawa lebih 80% daripada 27 Projek Perumahan Rakyat (PPR) di sekitar ibu negara dikenal pasti sebagai sarang penagih dadah.

Selepas itu, Persatuan Pengasih Malaysia mendedahkan lebih 70% nelayan di seluruh negara terlibat dalam penyalahgunaan dadah yang serius.

Semalam pula, Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan memberitahu seramai 717 pelajar sekolah di seluruh negara terjebak dengan dadah sepanjang tahun 2015 iaitu meningkat sebanyak 95 orang daripada 622 orang pada 2014. Minggu lalu juga, 2 pelajar sekolah menengah ditahan di atas kesalahan mengedar dadah.

Mengikut Ketua Pengarah AADK, jumlah penagih dadah seluruh negara meningkat lebih 20% kepada 26,000 tahun lalu, berbanding 21,000 pada 2014.

Lebih malang, AADK pada Julai lalu juga menyatakan bahawa Malaysia tidak lagi hanya sebagai tempat persinggahan untuk pengedaran dadah tetapi kini sudah menjadi hab pemprosesan dadah khususnya bagi ‘pasaran’ tempatan.

Berkenaan masalah dadah ini, terdapat 3 indikator yang sangat merisaukan dan perlu diberikan perhatian oleh semua pihak:

    (i) Pelbagai golongan (pelajar, nelayan, miskin bandar dan lain-lain) terlibat dengan masalah dadah.

    (ii) Jumlah penagih dadah meningkat saban tahun.

    (iii) Kesalahan berkaitan dadah bukan sahaja melibatkan penyalahgunaan dan penagihan, bahkan jenayah pengedaran, penyeludupan dan pemprosesan dadah pun semakin teruk.

Sedangkan, di negara ini terdapat banyak pihak yang terlibat dan dipertanggungjawabkan untuk mencegah dan membanteras dadah. Antaranya:

    (i) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik

    (ii) Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik

    (iii) Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK)

    (iv) Majlis Penyalahgunaan Dadah Malaysia (MASAC)

    (v) Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM)

    (vi) Persatuan Pengasih Malaysia

    (vii) Jabatan Kastam DiRaja Malaysia

    (viii) Jabatan Imigresen Malaysia

    (ix) Bahagian Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia

Oleh itu, saya mencadangkan dan menggesa agar:

    (a) Mengkaji semula dan menyelaraskan fungsi setiap pihak ini dalam memerangi dadah.

    (b) Meningkatkan integrasi pelbagai pihak ini khususnya dalam pelaksanaan tindakan dan perkongsian maklumat.

    (c) Menempatkan pegawai atau individu serta meningkatkan integriti dan kemahiran mereka yang terlibat dengan pihak-pihak ini seperti ilmu 'criminal profiling' dan risikan yang dapat membantu mengesan orang disyaki membawa masuk dadah.

Tindakan-tindakan ini perlu dilaksanakan bagi memastikan penyelesaian bersepadu dapat dibuat secara lebih berkesan bagi menangani masalah dadah di negara kita dan bagi memastikan wang yang diperuntukkan untuk tujuan ini dibelanjakan secara efisyen.

DPPM juga tidak bersetuju dengan cadangan Risda untuk melaksanakan projek penanaman daun ketum secara berskala besar mengambil kira kemungkinan ia akan diambil kesempatan oleh pihak-pihak tertentu untuk mengekploitasinya dan menyebabkan sasaran negara untuk bebas dadah menjelang 2020 semakin mustahil.

”Bertekad Melebar Muafakat”

“Inilah Penyelesaian Kita”

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia / Ahli Parlimen Pasir Mas
4 Ogos 2016 | 1 Zulkaedah 1437 - HARAKAHDAILY 4/8/2016

Share on Myspace