Kaum Cina diami Kelantan lebih 1,400 tahun

SALMAH MAT HUSAIN | .

KOTA BHARU: Penempatan masyarakat Cina di Kampung Pasir Parit, Chetok, Pasir Mas wujud lebih awal berbanding kehadiran Puteri Hang Li Po di Melaka.

Kajian yang dilakukan penyelidik dari UTM mendapati orang Cina tinggal di di kampung tersebut kira-kira 1,400 tahun lampau, iaitu 100 tahun sebelum Puteri Hang Li Po berkahwin dengan Sultan Mansur Shah.

Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Abdullah berkata berdasar kajian universiti tersebut masyarakat Cina mendiami Kampung Pasir Parit lebih awal daripada kehadiran Puteri Hang Li Po di Melaka.

“Maklumat mengenainya disampaikan pengkaji sejarah UTM kepada anggota Exco Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan. Dan semalam Dr Fadzli membentang pada mesyuarat Exco,” katanya di sini.

Oleh itu kata beliau kerajaan negeri akan menaja penerbitan buku yang bakal diterbit UTM berkaitan masyarakat Cina yang mendiami penempatan tersebut dan kawasan lain di Kelantan.

Menurutnya juga kerajaan negeri akan menjadikan perkampungan terbabit sebagai destinasi pelancongan baharu di Kelantan.

Kampung Pasir Parit terletak di tebing Sungai Kelantan dan 500 meter dari jalan utama Pasir Mas-Tanah Merah. Terdapat sebuah rumah tokong yang berusia beratus tahun.

Penduduk Cina di situ kebanyakan mengusahakan bidang pertanian. Ada juga yang berniaga dan berkhidmat dengan kerajaan. - HARAKAHDAILY 4/8/2016

Share on Myspace