PAS yakin mampu pertahan Kelantan

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Biarpun berdepan serangan berterusan parti serpihan PAS dan Umno, namun PAS yakin mampu mempertahankan Kelantan pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, secara peribadi beliau berpendapat PAS masih mampu mempertahan kerajaan negeri.

“Apa yang saya nampak sekarang PAN asyik duduk gertak supaya kita berunding dengan mereka bagi memberi laluan sekurang-kurangnya beberapa kerusi.

“Mereka sebenarnya sedar tiada kekuatan untuk bertanding. Kalau PAN benar-benar mahu bertanding di Kelantan mereka sebenarnya mahu menolong Umno dan bukan menewaskan parti itu,” katanya di sini.

Sedangkan kata beliau sebelum ini pemimpin parti serpihan itu sering bercakap mahu mengalahkan Umno dan menawan Putrajaya.

Mohd Amar yang juga Naib Presiden PAS berkata, hubungan dengan PKR masih berjalan dan dipertahankan sehingga sekarang.

Menurutnya biarpun ada cadangan Dewan Muslimat supaya dikaji semula hubungan dengan PKR, namun Majlis Syura Ulama belum lagi membincangkan isu tersebut.

“Hubungan dengan PKR di Kelantan baik dan mesra. Ada program diadakan bersama,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/8/2016

(Ikuti wawancara ekslusif di Harakah cetak keluaran akan datang)

Share on Myspace