Ulama tidak sekadar jadi pengikut - TG Abdul Hadi

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Naib Presiden Kesatuan Ulamak Islam Sedunia, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyeru para ulama agar melakukan anjakan paradigma memainkan peranan dalam kepimpinan serta tidak sekadar menjadi pengikut.

Menurutnya, dewasa kini terdapat pelbagai kumpulan dan jemaah yang wujud dengan semangat Islam serta ukhuwah Islamiah dan perlu dipandu dengan tuntutan Al-Quran dan Sunnah yang sebenar.

Justeru menjadi tanggungjawab para ulama mengambil inisiatif menyusun, mendidik, serta merancang perjalanan jemaah-jemaah tersebut dalam menghadapi pelbagai isu setempat khususnya serta isu global amnya.

Beliau berkata demikian dalam salah satu seminar sempena Persidangan Lembaga Pemegang Amanah Kesatuan Ulamak Islam Sedunia kali ke-4 di Konya, Turki yang bermula semalam.

Dalam ucapan itu juga, beliau berkata antara kejayaan para ulama dalam medan tafaqquh fid deen (mendalami ilmu agama) adalah kemampuan mengemukakan perbahasan Fiqhul Qital, Fiqhul Jihad serta Fiqhul Dakwah dalam wajah kontempori.

“Di sinilah peranan ulama di tampuk kepimpinan, serta menjadi para imam dan bukan sekadar makmum,” ujarnya dipetik laman web Kesatuan Ulamak Islam Sedunia - Asia.

Share on Myspace