Khairul Idham Pawi: Kenang pengorbanan keluarga

KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN | .

MENDIDIK anak sehingga berjaya menjadi taruhan setiap ibu bapa sama ada dalam pelajaran mahupun kehidupan. Dalam mendidik seseorang anak kadang kala memerlukan pengorbanan yang besar khususnya di kalangan ibu bapa. Lebih besar cabaran maka lebih besar pengorbanannya.

Khairul Idham hanyalah anak kampung biasa, Encik Pawi seorang bapa yang hanya berharap anak-anaknya akan menjadi orang yang berguna dan berjasa apabila dewasa nanti.

Tidak berharap sesuatu yang terlalu tinggi daripada anak-anaknya, apatah lagi untuk mengharumkan nama keluarga dan negara di peringkat dunia dan antarabangsa.

Khairul Idham seperti anak-anak lain, membesar sebagai seorang anak kampung. Suasana Kampung Gajah di Perak menjadikan beliau anak kampung yang tiada beza dengan anak kampung yang lain, berlari di denai sawah padi, berkubang dan mandi manda di sungai serta aktiviti yang menjadi kebiasaan anak Kampung Gajah yang lain sebaya serta seusia beliau.

Namun ketika Khairul Idham berumur 12 tahun, segala-segalanya berubah. Kemahuan beliau untuk memiliki “Lesen Perlumbaan” pada usia yang muda mengejutkan ahli keluarganya terutamanya ibu bapa beliau.

Pelbagai alasan diberikan kepada anak muda ini tentang perlumbaan terutama risiko dan bahayanya namun si anak tetap dengan keputusannya. Maka tanpa mahu mengecewakan anak dan setelah berfikir panjang walau tahu bukan sedikit pengorbanan yang perlu di pertaruhkan, Encik Pawi merestui permintaan anaknya.

Bermula dari situlah setapak demi setapak anak muda ini melangkah. Bermula daripada cubprix hingga ke tahap yang ada sekarang, tiada siapa menjangkakan serta sangka anak muda ini mampu pergi sejauh itu.

Litar di Kampung Gajah, Perak menjadi lokasi latihannya saban hari, segala kudrat serta keringat di kerah agar segala cita-cita dan impiannya tercapai. Walau kadangkala berdepan depan rintangan serta cabaran, ia bukan titik noktah buat anak muda ini melupakan impiannya.

Walau susah untuk bertapak dalam dunia pemotoran di kala segala kekangan berada di setiap sudut terutamanya kewangan, ia tidak merencatkan cita-cita anak muda ini.

Perbelanjaan yang besar hampir membantutkan cita-cita anak muda ini, namun kerana kesungguhan serta kecekalan beliau, begitu juga pengorbanan ibu bapanya terhadap cita-cita beliau walaupun terpaksa menempuh cabaran getir, akhirnya membuahkan hasil dengan usaha serta keazaman mereka sendiri tanpa bantuan yang sepatutnya, walau kadang kala terpaksa bergolok gadai.

Harga motosikal ratusan ribu ringgit, kos pengangkutan serta operasi yang begitu besar, tentunya sukar buat anak muda ini serta keluarganya namun itu bukan alasan buat mereka untuk putus asa.

Ada juga di minta penajaan serta bantuan namun ketika masih di tahap sebegitu ramai yang memandang sinis serta tidak endah akan permintaan keluarga ini. Hakikatnya, cita-cita serta impian harus dicapai, tidak perlu toleh ke belakang lagi.

Pengorbanan ibu bapa berserta keazaman anak membuahkan hasil walaupun pada mulanya sukar memberi keizinan, takut akibat serta risiko buruk bakal berlaku.

Kecekalan serta keazaman si anak membuahkan kemenangan demi kemenangan, yang bermula dari bawah sehingga ke tahap seperti sekarang, iaitu di peringkat dunia. Ternyata segala pengorbanan di balas dengan kejayaan, tahu betapa sukar keluarganya dalam menanggung perbelanjaan beliau sepanjang karier beliau.

Ternyata anak muda ini tidak mensia-siakan pengorbanan keluarganya terutama ibu bapanya. Namun jalan masih panjang untuk di tempuh, masih banyak ranjau dan onak duri yang harus di lalui untuk mencapai cita-cita bergelar juara dunia.

Buat Khairul Idham, jangan sia-siakan pengorbanan keluarga. Kenanglah ia serta balaslah dengan kemenangan agar dapat mengubat hati-hati mereka terutama ke dua ibu bapa. Sebagai seorang Islam dan berbangsa Melayu, jagalah kemualiaan agama dan bangsa.

Tunjukkanlah walau Islam di tohmah serta di mehnah, sebenarnya Islam agama kebenaran dan penuh adab serta tata susila, bukan agama permusuhan. Bawa jati diri dan adab kemelayuan dengan sempurna, dunia yang anda ceburi penuh dengan dugaan serta pancaroba.

Harumkan nama negara dan perkenalkan Malaysia di mata dunia agar rakyat selebihnya dapat manfaat daripada usaha anda. Banggakan agama, bangsa dan negara terutama keluarga dan ibu bapa, sesuanggunhya kami rakyat Malaysia akan sentiasa menyokong dan bersama anda. – HARAKAHDAILY 5/8/2016

Penulis ialah Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia dan Pengarah DACS (Department Of Arts, Culture & Sports)

Share on Myspace