Kenapa Petronas tak jawab?

HARAKAHDAILY | .

Keadaan politik negeri Terengganu kembali berkocak hasil daripada berbalas serangan antara dua orang kuat Umno Terengganu mantan MB Terengganu Datuk Seri Ahmad Said (DSAS) dan juga MB Terengganu sekarang YAB Encik Ahmad Razif Abdul Rahman (ARAR).

Perbalahan bermula dengan kenyataan DSAS minggu lepas berkenaan kepincangan ARAR mentadbir negeri sehinggakan muncul isu mahu menjatuhkan MB dengan kenyataan sokongan oleh Adun Ajil yang dikatakan juga tidak berpuashati dengan MB. Khabarnya portfolio Exco dari Ajil itu tidak dipedulikan MB, peruntukan juga banyak yang tak dapat, entahlah. Mungkin itu sebabnya dia mahu menyokong DSAS di samping dengan tali persaudaraan beliau dengan DSAS, mungkin…?

Saya tertarik dengan kenyataan balas MB kepada serangan DSAS hari ini, iaitu berkaitan dengan telaga minyak Bertam yang beliau dakwa ianya bukan kepunyaan Terengganu, oleh itu beliau tidak pernah menandatangani sebarang dokumen berkenaan Bertam.

Kata beliau lagi, Bertam berada di luar tiga batu nautika daripada pantai Terengganu, jadi ianya hak kerajaan Persekutuan. Beliau juga dilaporkan berkata bahawa kerajaan negeri sedang berusaha membuat permohonan rasmi untuk PM membuat pertimbangan agar digunakan kembali asas komitmen yang telah diberikan sebelum ini.

Persoalan yang timbul sekarang ini, rakyat ingin tahu kenapa royalti yang dinikmati oleh kerajaan Negeri Terengganu semenjak pertemuan minyak pada tahun 70-an dahulu, Umno hapuskan, dan kemudiannya mengemis kembali wang royalti itu dengan nama wang ehsan atau Dana Persekutuan.

Kenapa ketika kerajaan pusat meluluskan Akta Laut tetapi kerajaan negeri tiada membuat apa-apa bantahan untuk pertahan hak negeri bahkan kerajaan negeri menolak agar usul tergempar yang hendak dibawa oleh Adun Paka YB Ustaz Saiful Bahri tentang Akta Laut di persidangan Dun? Sepatutnya persidangan Dun boleh menggunakan kuasa menolak akta yang diluluskan ini.

Lebih menghairankan lagi, Umno mengatakan bahawa wang itu bukan perjanjian royalti kerana penafsiran batu nautika, tetapi tahun lepas, mereka meluluskan Akta Laut 750 yang menafsirkan semula kiraan batu nautika yang jelas akta itu mahu menguasai laut negeri-negeri di luar tiga batu nautika.

Jika sudah betul tafsiran Akta Laut itu dahulu, kenapa dibuat tafsiran baru tahun lepas. Tafsiran kepada bayaran royalti itu sebenarnya telah dijelaskan oleh dua daripada tiga orang yang menandatangani perjanjian royalti iaitu Tengku Razaleigh Hamzah dan Tun Salleh Abas, tetapi sayang bagi rakyat Terengganu kerana Umno tetap menginjak-injak maruah Terengganu.

Dalam sidang Dun tahun lepas DSAS telah mendedahkan bahawa Bertam hanya berada 120 km dari pantai Terengganu. Hanya Bertam A dan B yang dikatakan berada di perairan Pahang, tetapi hasilnya adalah sedikit sahaja.

Beliau mendakwa telah menulis surat kepada Petronas tetapi Petronas mendiamkan diri tanpa jawapan. Rakyat Terengganu mahukan jawapan yang jelas, bukan tujuan untuk menutup perbalahan dalaman Umno. Kekal wang royalti dirompak dengan nama lain, ubah Akta Laut, status Bertam tidak dipastikan. Ayuh rakyat Terengganu bersama PAS dengan kepimpinan yang damai dan bertanggungjawab serta bina negeri yang lebih baik, insya Allah.

USTAZ MOHD NOR HAMZAH
Ketua Penerangan PAS Terengganu
2 Zulqaedah 1437 / 5 Ogos 2016 - HARAKAHDAILY 5/8/2016

Share on Myspace