Habis gas sahaja lawan orang PAS

HARAKAHDAILY | .

Buat habis gas sahaja apabila ajak orang PAS keluar PAS terutama ahli biasa. Mereka masuk PAS bukan kerana orang atau pemimpin. Mereka masuk PAS bukan kerana hendak menjadi calon. Bukan kerana hendak menjadi exco atau menteri. Bukan kerana hendak pegang GLC. Bukan kerana hendak menjadi ahli majlis. Bukan kerana hendak menjadi JKK. Bukan kerana hendak mencari glamour. Bukan kerana kepentingan duniawi.

Habis harta dan tenaga diberi kepada PAS, semuanya kerana PAS hendak memperjuangkan Islam. Mereka belajar tidak tinggi. Ada yang tidak tahu menulis atau mengira. Mereka hanya tahu mendengar sahaja. Mereka tidak tahu apa istilah manhaj, marhalah, maratib, duat, mad'u, uslub, hikmah.

Pada mereka selagi PAS berjuang Islam dan tidak lari daripada matlamat perjuangan mereka akan bersama. Jika pemimpin ada agenda lain. Ada matlamat duniawi. Ada agenda peribadi. Mereka tidak kisah. Kerana mereka yakin orang yang seperti ini tidak tahan lama di dalam parti. Mereka akan tinggal parti atau mereka akan ditinggal oleh parti. Mereka sebagai ahli akan terus istiqamah. Apa mereka peduli, kami berjuang bukan kerana manusia.

Apa yang orang tidak kata kepada PAS. PAS lebih merbahaya daripada komunis, PAS parti pecah belah, PAS parti kafirkan orang, PAS ditubuh oleh penjajah, PASparti ajaran sesat, PAS tidak mahu merdeka, PAS tidak ada tarbiah. Terbaru PAS hendak kerjasama dengan Umno, PAS hendak 'berUG' dengan Umno. Tetapi ahli PAS jawab dengan amalan. Maka tuduhan itu berlalu begitu sahaja.

Orang kata ahli PAS mabuk wala, candu wala'. Apa pun orang hendak kata. Mereka tidak peduli. Pada mereka wala' kepada pemimpin selagi mereka wala' kepada Allah, Rasul dan jamaah. Apabila pemimpin mereka sudah tidak wala' kepada jamaah, mereka akan meninggal ketaatan kepada kepada pemimpin. Pemimpin jangan mimpi ahli akan ikut mereka. Mereka berkata kami sanggup korban apa sahaja selagi pemimpin bertungkus lumus bersama dengan jamaah. Apabila mereka meninggal PAS, mereka kata sayonara wahailah kamu.

USTAZ IDRIS AHMAD
Naib Presiden PAS / Ahli Parlimen Bukit Gantang
2 Zulkaedah 1437 / 5 Ogos 2016 - HARAKAHDAILY 5/8/2016

Share on Myspace