Cadangan Hanna Yeoh mahu perangkap MB S'gor?

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) Selangor menyambut baik berhubung cadangan pembentangan usul agar semua Adun di negeri itu wajib mengisytiharkan aset milik masing-masing.

Menurut Pengerusi Ikatan Selangor Datuk Seri Mohamad Badri Abdul Rahman mereka menyokong sepenuhnya sekiranya usul itu dibentangkan bertujuan membuktikan kebersihan sistem pentadbiran kerajaan negeri.

Bahkan beliau turut menyarankan agar pengisytiharan harta dan aset dibuat melalui juru audit atau akauntan awam yang diperakui serta melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Selepas siasatan siap dilakukan oleh semua agensi seperti juru audit dan juru akaun bertauliah serta SPRM berpuas hati atas pengistiharan tersebut maka baru majlis pengtauliahan angkat sumpah di mulakan di hadapan sultan.

"Saya berharap agar usaha tersebut tidak hanya sekadar cakap-cakap sahaja dan isu pengisytiharan harta tidak hanya diarahkan kepada Adun Selangor semata-mata seterusnya ia harus dilaksanakan ke semua negeri sebelum menjalankan tugas sebagai Adun," katanya kepada Harakahdaily.
 
Badri juga berpendapat, isu ini sepatutnya diilhamkan oleh menteri besar bukannya speaker kerana menteri besar mempunyai kuasa eksekutif melantik dan menggugurkan Adun.

"Menteri besar harus mendapat pandangan sultan dan persetujuan secara bertulis daripada pihak istana baru boleh dibentangkan. Jangan asyik nak tengok unggas di seberang sedangkan harimau di depan tidak nampak," tambah beliau.

Rabu lalu, Speaker Dun Selangor, Hannah Yeoh memberitahu Sidang Dun akan membentangkan usul agar semua Adun di negeri itu wajib isytihar aset milik masing-masing.

Sekiranya usul tersebut diluluskan, Selangor akan menjadi negeri pertama di negara ini yang mewajibkan semua Adun membuat pengisytiharan harta.

Sebelum ini, peraturan itu hanya dikenakan ke atas Menteri Besar dan semua Exco.

Menurut Hannah, tujuan kerajaan Selangor meminta semua wakil rakyatnya mengisytiharkan aset masing-masing adalah memastikan ketelusan kerajaan negeri dan membolehkan rakyat memahami kedudukan kewangan negeri dengan lebih jelas.

Badri juga tidak menolak cadangan ini akan menimbulkan persoalan tehadap kepercayaan rakyat Selangor serta memberi modal percuma kepada parti lawan untuk mengkritik dan memperkecilkan kredibiliti kepimpinan Selangor.

"Adalah lebih popular jika Hannah Yeoh memfokuskan agenda untuk menyelesaikan permasalahan rakyat, daripada meletakkan kedudukan wakil-wakil rakyat Pakatan Rakyat di Selangor dalam 'boiling pot'.

"Ia juga bakal menimbulkan masalah jika tiba-tiba di dapati ada di antara wakil rakyat yang bermasalah akibat perisytiharan harta tersebut," ujarnya.

Beliau turut mempersoalkan mengapa perkara ini perlu dibentangkan waktu ini dan kenapa tidak dilaksanakan sebaik sahaja mengambil alih pentadbiran Selangor selepas PRU 2008.

"Apakah tindakan ini berunsurkan politik untuk menumbangkan ketua yang menerajui negeri pada saat ini. Jika ini benar maka politik dan parti yang bergabung tidak mantap di antara satu dengan yang lain, tidak ada kesepakatan dalam Pakatan Rakyat atau sebelum dan selepas memenangi pilihanraya," katanya.

Justeru katanya, adalah lebih wajar jika Pakatan Rakyat memikirkan apakah tindakan untuk memperkuatkan hubungan parti-parti komponennya pada masa ini jika masih mahu terus berkuasa di Selangor.

"Sekiranya ingin meneruskan cadangan tersebut, adalah lebih wajar dimulakan selepas PRU-14 akan datang," katanya. – HARAKAHDAILY 5/8/2016

Share on Myspace