Kerajaan pusat digesa tidak salah guna Poca, Pota

HARAKAHDAILY | .

ISLAM diturunkan oleh Allah SWT bertujuan untuk memelihara kehidupan manusia agar sentiasa berada dalam keadaan selamat dan sejahtera.

Allah SWT meletakkan tanggungjawab kepada pemerintah untuk memelihara keamanan dan kedaulatan negara serta rakyatnya daripada diganggu-gugat oleh sebarang anasir yang melampau dengan mewujudkan dan menguatkuasakan apa jua peraturan dan undang-undang yang bersesuaian.

Walau bagaimanapun, di dalam memelihara keamanan dan kedaulatan sebuah negara, Islam tidak membenarkan ianya dilakukan dengan cara yang melampaui batas sehingga membawa kepada kezaliman, mengenepikan prinsip-prinsip keadilan dan hak asasi manusia.

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ ۖوَلَايَجْرِمَنَّكُمْشَنَآنُقَوْمٍعَلَىٰأَلَّاتَعْدِلُواۚاعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ ۖوَاتَّقُوااللَّهَۚإِنَّاللَّهَخَبِيرٌبِمَاتَعْمَلُونَ
(Al-Maidah : 8)

Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui dengan mendalam akan apa Yang kamu lakukan.

Justeru apa jua peraturan ataupun undang-undang yang ingin dikuatkuasakan oleh sesebuah kerajaan mestilah selari dengan prinsip hukum Syara’ yang bersandarkan nas Al-Quran dan As-Sunnah.

Baru-baru ini, Dewan Rakyat telah meluluskan dua akta iaitu Rang Undang-undang (RUU) Pencegahan Keganasan  2015 (POTA) dan Akta Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) 2013 (POCA) dan telahpun diwarta dan dikuatkuasakan. Ia dikatakan bertujuan untuk mencegah sebarang bentuk keganasan dan menjamin agar negara sentiasa berada dalam aman dan selamat.

“....Kerajaan Negeri terpaksa akur dengan akta-akta tersebut
 dalam menangani isu militan seperti IS dan DAESH buat masa ini...”

Akta ini bercanggah dengan hukum Syara berasaskan hujah-hujah seperti berikut:

1.Kaedah Hukum Syara :    أن الأصل براءة الذمة
Hukum Asal Seseorang Itu Adalah Bebas Daripada Tuduhan/Kesalahan

Di dalam prinsip perundangan Islam, seseorang itu tidak boleh dianggap bersalah melainkan setelah pihak yang mendakwa dapat mengemukakan dengan bukti-bukti  yang nyata bahawa ia benar-benar melakukan kesalahan. Oleh itu, orang yang dituduh hendaklah diberikan haknya untuk membela diri dan tidak boleh ditahan tanpa asas.

2.Pembuktian Mesti Dikemukakan Oleh Pihak Yang Mendakwa
Sabda Rasulullah SAW :

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَـا ؛ أَنَّ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : لَوْ يُعْطَى النَّاسُ بِدَعْوَاهُمْ لَادَّعَى رِجَالٌ أَمْوَالَ قَوْمٍ وَدِمَاءَهُمْ ، وَلَكِنِ الْبَيِّنَةُ عَلَـى الْـمُدَّعِيْ ، وَالْيَمِيْنُ عَلَـى مَنْ أَنْكَرَ

Dari Ibnu ‘Abbas RA bahwa Rasûlullâh SAW bersabda : “Seandainya setiap orang dibiarkan dengan dakwaan/ tuduhan mereka, nescaya akan ada orang-orang yang akan mendakwa (menuduh/ menuntut) harta dan darah suatu kaum. Namun, orang yang mendakwa/ menuduh mesti mendatangkan bukti. Manakala orang yang didakwa mesti bersumpah (menafikan dakwaan).”

POTA dan POCA dianggap bercanggah dengan prinsip hukum Syara’, prinsip keadilan dan kebebasan hak asasi manusia kerana menafikan hak seseorang yang ditahan untuk mendapatkan pembelaan. Akta ini juga dianggap kebal kerana tindakan pihak berkuasa berdasarkan akta ini tidak boleh dicabar di mahkamah. Hakim atau Majistret hanya sekadar meluluskan permohonan Polis untuk mereman yang tertuduh setelah pegawai polis mengemukakan pernyataan bertulis bahawa polis mempunyai sebab untuk mengesyaki tertuduh terlibat dengan kegiatan keganasan. Ia adalah sebuah penahanan tanpa perbicaraan dan dianggap hanya mengulangi kezaliman ISA yang telah dimansuhkan.

3.Kaedah Hukum Syara’: Tersilap Membebaskan Orang Yang Bersalah Adalah Lebih Baik Daripada Menghukum Orang Yang Tidak Bersalah

Sabda Rasuluillah SAW:
عن عائشة رضي الله عنها، أن رسول الله صلى الله عليه وآله وسلم – قال : "ادرءوا الحدود
عن المسلمين ما استطعتمفإن وجدتم للمسلم مخرجاً فخلوا سبيلهفإن الإمام يخطئ في العفو
خير من أن يخطئ في العقوبة"

Maksudnya : Daripada Aisyah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda : Lepaskanlah orang-orang Islam daripada hukuman hudud seboleh mungkin. Jika kalian mempunyai jalan keluar untuk melepaskan seorang Muslim maka usahakanlah. Sesungguhnya seorang Imam yang tersilap dalam mengampunkan (orang yang bersalah) adalah lebih baik daripada tersilap menghukum orang yang tidak bersalah.

4.Deklarasi Hak Asasi Manusia Antarabangsa 1948 (Universal Declaration of Human Rights)

Deklarasi tersebut yang telah bersidang di Palais de Chaillot, Paris menyatakan antaranya sebagaimana berikut :
Perkara 10.

Setiap orang adalah berhak dengan samarata sepenuhnya kepada pembicaraan adil dan terbuka oleh suatu tribunal bebas dan saksama, dalam penetapan hak-hak dan tanggungannya dan sebarang tuduhan jenayah terhadapnya.

Perkara 11.
1.Setiap orang yang dituduh dengan kesalahan keseksaan adalah berhak dianggap tidak salah sehingga dibuktikan salah menurut undang-undang di dalam perbicaraan terbuka di mana dia telah diberikan segala jaminan yang perlu untuk pembelaannya.

2.Tiada sesiapa pun boleh diputuskan bersalah atas sebarang kesalahan keseksaan oleh kerana sebarang tindakan atau ketinggalan yang tidak merupakan suatu kesalahan kesiksaan, di sisi undang-undang kebangsaan atau antarabangsa, pada masa ianya dilakukan. Tiada pula boleh dikenakan sebarang hukuman yang lebih berat dari hukuman yang terpakai ketika kesalahan keseksaan itu dilakukan.

Justeru sebarang penahanan tanpa bicara adalah dianggap suatu perkara yang sangat bercanggah dengan Deklarasi Hak Asasi Manusia yang telah dikeluarkan oleh PBB yang mana negara Malaysia adalah salah satu negara anggotanya.

Maka sebarang undang-undang ataupun akta yang ingin dilaksanakan oleh pemerintah mestilah menepati prinsip hukum Syara, prinsip keadilan dan prinsip hak asasi manusia agar ia benar-benar dapat menjamin kesejahteraan rakyat dan negara serta tiada pihak yang teraniaya dan dizalimi.

DATUK DR. AHMAD YUNUS HAIRI
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu & Warisan, Pembangunan Desa Dan Kampung Tradisi Negeri Selangor
02 Zulkaedah 1437 / 5 Ogos 2016 – HARAKAHDAILY 5/8/2016

Share on Myspace