PAS persoal Majlis Peguam anjur forum 'Memeluk Islam'

HARAKAHDAILY | .

MURSYIDUL AM PAS PERSOAL TINDAKAN MAJLIS PEGUAM ANJUR FORUM MASUK ISLAM (7 OGOS 2008)

PADA hari ini dalam tahun 2008, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat telah mempersoalkan tindakan Majlis Peguam yang bercadang menganjurkan satu forum awam bertajuk "Memeluk Islam" untuk membahaskan persoalan kesan negatif terhadap keluarga akibat memeluk Islam di negara ini.

Menurut Menteri Besar Kelantan ini, persoalan memeluk Islam tidak perlu dibesarkan kerana telah berjuta-juta orang memeluk Islam sejak sekian lama, dan ia tidak menjadi masalah.

Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz juga berkata, bahawa Majlis Peguam tidak mempunyai alasan yang kukuh untuk menganjurkannya dan ia tidak sewajarnya diteruskan. Pelbagai pihak termasuk Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Pekida, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan parti politik telah membantah forum yang dianggap akan mencetuskan hubungan tegang antara kaum dan agama.

Isu memeluk Islam ini adalah akibat gerakan yang dibuat oleh beberapa pihak yang membangkitkan kes-kes keluarga apabila salah seorang antara suami isteri memeluk Islam.

Dalam isu ini, tiga kes rujukan yang ditimbulkan oleh mereka iaitu kes wanita Jerman yang berkahwin dengan dua lelaki Islam, kes R. Shubashini dan kes S. Shamala yang suami mereka telah memeluk Islam. Isu yang ditimbulkan oleh mereka adalah masalah perebutan anak dan juga jenazah. Majlis Peguam menganggap ia adalah masalah penguatkuasaan undang-undang. Tetapi pelbagai kesal kerana Majlis Peguam sangat membela hak-hak orang bukan Islam, tetapi meminggirkan secara halus hak-hak orang Islam.

Majlis Peguam merancang menganjurkan forum awam ini pada 9 Ogos 2008 di Pejabat Majlis Peguam, Lebuh Pasar, Kuala Lumpur dengan objektif untuk menjernihkan beberapa kekeliruan yang timbul dalam agama yang melibatkan bukan Islam tetapi membabitkan agama Islam.

Mereka membariskan beberapa ahli panel dalam forum ini termasuk Dr Wan Azhar Ahmad (IKIM) serta tiga pengamal undang-undang iaitu Ravi Nekoo, R. Shanmuga dan Mohamed Haniff Khatri Abdulla. Bekas Hakim Syarie, Dr Naim Mokhtar telah menarik sebagai panel, manakala Zarizana Abdul Aziz dari Pusat Bagi Perubahan Wanita sebagai moderator.

Mengulas tentang forum ini, Menteri Besar Kelantan itu pada 7 Ogos 2008 sependapat dengan kebanyakkan pemimpin NGO Islam bahawa forum ini bukan sahaja melibatkan sensitiviti agama, tetapi untuk memberikan imej buruk kepada Islam.

Tuan Guru Haji Nik Aziz berkata, lebih baik menganjurkan forum antara agama untuk menilai ajaran agama mana yang lebih benar di antara Islam dengan agama bukan Islam. Ia lebih baik dan lebih bermanfaat, berbanding membangkitkan perkara remeh akibat seseorang memeluk Islam. Ketika forum ini diadakan pada 9 Ogos 2008, ia telah diserbu oleh lebih 3,000 demonstran yang menyebabkan ia terpaksa ditamatkan lebih awal.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
7 Ogos 2016 - HARAKAHDAILY 7/8/2016

Share on Myspace