Politik Turki dan jemaah dalam jemaah

ALANG IBN SHUKRIMUN | .

DALAM sebuah usrah, ada sahabat pemuda bertanya tentang isu setempat yang timbul. Ianya berkenaan desas desus wujud jamaah dalam jamaah dan gerakan persis Abuya.

Saya tidak memiliki maklumat tentang perkara itu, tapi saya ada dengar juga di banyak tempat dan sepanjang sejarah PAS, gejala sebegini berlaku. Ini kerana PAS adalah sebuah gerakan Islam yang besar. Besar periuk besarlah keraknya.

Apabila tokoh-tokoh tertentu (kebanyakannya agamawan) memiliki pengaruh yang besar, mereka cuba membawa haluan sendiri yang berbeza dari disiplin organisasi.

Walaupun kebanyakan mendakwa matlamat mereka tidak lari dari perjuangan PAS cuma yang berbeza hanya cara sahaja, tetapi sejarah mengajarkan bahawa golongan yang memiliki pengikut tersendiri dalam PAS ini akhirnya akan membawa diri jauh dari PAS.

Saya ambil contoh Abuya Ashaari. Beliau asalnya adalah salah seorang pimpinan PAS. Pernah menjawat jawatan tertinggi sebagai Bendahari PAS Pusat.

Beliau memiliki kelebihan dari sudut tarbiah dan perkaderan, mampu mendidik anak-anak muda kembali kepada cara Islam yang sebenar.

Kewujudannya sangat berpengaruh pada waktu itu. Kebanyakan anak didiknya 'menjadi'. Disaat anak muda masih ramai tak lulus dari sudut penampilan syariah, pengikut-pengikut usrahnya sudah ramai yang bertudung labuh dan berniqab.

Apabila pengikutnya bertambah, dalam keadaan parti PAS waktu itu belum mampu mengatur agenda tarbiah sehebatnya dek kekangan berbagai sudut, Abuya mula membawa haluan sendiri.

Anak-anak didik yang kebanyakannya dikader atas dasar beliau seorang pimpinan PAS mula ditarik bagi menjayakan misi tersendiri. Beliau mengatur agenda Islamisasi sendiri di luar PAS menyebabkan banyak program PAS tergendala dek ramainya ahli PAS meninggalkan kerja setelah mengikutinya.

Ringkas cerita, lahirlah al-Arqam dan beberapa nama lain selepasnya. Walaupun difatwakan sesat, Abuya terus disanjung oleh pengikutnya sehingga ada yang menganggap beliau Imam Mahdi.

Saya dapat cerita kini di Utara Kedah ada juga seorang bertaraf murabbi melakukan perkara sedemikian terhadap anak-anak buahnya.

Walaupun tidaklah menjadi sesat, tetapi jemaah dalam jemaah timbul apabila ketaatan diberikan lebih kepada murabbi berbanding pimpinan yang sah dilantik dalam PAS. Persis Abuya juga.

Ini jelas bercanggahan konsep berjemaah yang dipelajari dari tokoh-tokoh Haraki seperti Imam Hasan al-Banna, Said Hawa, Mustafa Masyhur, Tuan Guru Abdul Hadi, Ustaz Harun Taib dan lain-lain.

Samalah seperti gerakan Ikram yang menyusup masuk ke dalam PAS. Mereka menggunakan kekuatan yang ada pada PAS bagi menarik orang kepada diri mereka dan membina pengaruh tersendiri dalam PAS.

Setelah merasakan tidak ada guna lagi, mereka senang hati meninggalkan PAS dan menubuhkan parti baru lalu mengajak ahli-ahli PAS yang dipegangnya untuk bersama mereka.

Ia tidak berlaku di dalam PAS sahaja. Perkara yang sama berlaku di Turki. Mereka yang biasa mengikuti perkembangan Turki akan berjumpa dengan istilah Ergenekon atau Deep State. Ianya berkait rapat dengan gerakan Fathullah Gulen, seorang pemimpin tarikat yang besar di Turki.

Dia mewarisi kumpulan tarikat yang pernah dipimpin oleh Said Nursi, Jamaat Nur. Pun begitu, pembawaannya kini jauh tersasar dari fikrah asal Said Nursi yang juga harakis dan jihadis.

Fathullah Gulen memiliki pengaruh sendiri dalam kerajaan Turki. Ini kerana budaya masyarakat Islam di Turki adalah setiap orang akan menyertai mana-mana tarikat tidak kira apa latar belakang dan profesion mereka. Tarikat Gulen disertai lebih dari 2 juta rakyat Turki.

Ketaatan diberikan kepada pemimpin Tarikat adalah lebih tinggi dari ketaatan kepada pemimpin negara. Contohnya kalau kerajaan suruh polis tembak, tapi polis itu pengikut tarikat Gulen dan gulen arah jangan tembak, maka polis itu tidak akan tembak.

Atas dasar itu, Gulen mudah untuk mempergunakan ahlinya mengganggu pentadbiran AK Party di Turki. Kerajaan keluarkan polisi lain, tapi Gulen mengarahkan lain. Di samping itu banyak lagi gangguan lain dari pihak lain. Inilah yang dipanggil Deep State, kerajaan dalam kerajaan.

Gejala jemaah dalam jemaah perlu diubat segera. Ia lebih bahaya dari risiko kepelbagaian jemaah Islam (taadud jamaah) kerana mereka dikira duri dalam daging yang mengelirukan ahli dari dalam.

Elok-elok masuk PAS kerana dasar dan perjuangannya, tiba-tiba dipesongkan oleh abuya-abuya ini.
Untuk elakkan ahli dari dipengaruhi abuya-abuya ini, kefahaman tentang konsep ketaatan sebenar dalam gerakan perlu diterapkan dalam usrah dan program tarbiah.

Insya-Allah jika berkesempatan saya kongsikan pula konsep ketaatan yang sepatutnya wujud dalam organisasi yang baik.

Kepada yang memiliki simptom-simptom penyakit abuya ini, ingatlah pesanan pendek ini:
"Gunakanlah pengaruh peribadi untuk jemaah. Bukan menggunakan jemaah untuk pengaruh peribadi." – HARAKAHDAILY 7/8/2016

Share on Myspace