Memposisi profesional dalam PAS

MUHTAR SUHAILI | .

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) terbuka menerima semua golongan tanpa mengira latar belakang selagi mana berpegang dengan dasar Islam dan berintima’ dengan jamaah PAS. Peranan ulama dan profesional dalam memacu perjuangan PAS sebagai Harakatul Islamiyah iaitu Gerakan Islam adalah sinergi sangat penting di mana tiada pemisahan atau peminggiran peranan antara keduanya.

Pada hakikatnya, tiada sempadan pembeza atau berlaku pertentangan antara ulama dan profesional. Lebih daripada itu, tiada peruntukan klausa dalam Perlembagaan PAS menafikan penglibatan mana-mana golongan sama ada ulama, profesional, aktivis atau sesiapa sahaja.

Keberadaan kita di dalam PAS adalah untuk melaksanakan tugas dan amanah iaitulah memperjuang dan mengangkat martabat dan syariat Islam melalui jalan siyasah, dakwah dan tarbiyah.

Dari sudut yang lebih luas, PAS merupakan sebuah gerakan dakwah di mana ukuran kemenangan ialah sejauh mana dakwah dapat disebarkan kepada ummah dan masyarakat, dan tahap penerimaan masyarakat pada Islam sebagai cara hidup mereka.

Pada sudut ukuran tarbiyyah, ia dilihat kepada sejauh mana kita yang berada dalam jamaah dapat mempertingkatkan peranan sebagai amilin kepada perjuangan Islam.

Antara polemik yang cuba dipersepsikan oleh mereka yang tidak senang bahkan sebahagiannya memusuhi dan membenci PAS ialah kononnya profesional sudah lari dan tidak bersama PAS.

Ini adalah satu persepsi yang tidak benar sama sekali. Sebagai makluman bersama, berikut dikongsikan data dan fakta yang mudah-mudahan memberi gambaran yang lebih adil.

Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat:

Daripada 50 orang AJK PAS Pusat dan Pesuruhjaya PAS Negeri, ia adalah gabungan dan jalinan mesra 24 orang asatizah (ulama dan lulusan agama) dan 26 orang profesional dan aktivis. Sembilan (9) orang darinya memiliki PhD - Ijazah Doktor Falsafah, dua (2) orang Doktor Perubatan selain ahli profesional lain yang berlatarbelakangkan bidang kejuruteraan, arkitek, undang-undang dan ekonomi.

Boleh baca lanjut di pautan berikut tulisan Ustaz Dr Riduan Mohammad Nor berkenaan profil AJK PAS Pusat yang terpilih dalam Muktamar 2015:
 https://www.facebook.com/paspusat/photos/a.636486686368079.1073741829.220590201291065/1116886508328092.

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM):

Daripada 39 orang Exco dan Pengarah Jabatan DPPM, 4 orang memiliki PhD - Ijazah Doktor Falsafah (termasuk Profesor dan Profesor Madya), 7 orang memiliki Ijazah Sarjana (4 orang darinya sedang menyambung PhD) dan selebihnya berkelulusan Ijazah Sarjana Muda.

Selain itu, seramai 19 orang Exco dan Pengarah Jabatan adalah terdiri daripada golongan profesional sama ada dalam bidang kejuruteraan, perubatan, undang-undang, ekonomi, IT dan lain-lain.

Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM):

Daripada 25 orang aktivis Muslimat yang telah dipilih menganggotai saf kepimpinan DMPM, 27% adalah dari asatizah (lulusan agama), 33% adalah dalam kalangan profesional (doktor falsafah, doktor perubatan dan pengamal undang-undang) dan 40% dari separa profesional yang merupakan aktivis parti.

DMPM juga menonjolkan pakar motivasi dan empat (4) muka baru yang merupakan lulusan PhD - Ijazah Doktor Falsafah yang menumpukan aspek tarbiyyah, mengendalikan bidang penyelidikan dan pembangunan, bertanggungjawab dalam bidang pengurusan IT selain bidang undang-undang dan perundangan Islam.

Selain itu gandingan lima (5) orang Doktor Perubatan turut berada dalam saf kepimpinan DMPM sesi ini.

Semoga maklumat di atas memberi pencerahan betapa sebenarnya PAS terus didokongi oleh pelbagai lapisan masyarakat dari pelbagai latarbelakang pendidikan, rencam kerjaya dan gabungan antara agamawan, profesional dan aktivis.

Pasca Muktamar 2015, jelas bahawa sudah jarang kedengaran dikotomi antara agawaman, profesional dan aktivis malah kini kesemuanya secara bahu-membahu, seiring sejalan dan sederap ke hadapan membawa visi dan misi PAS mendaulatkan Islam di dalam watan tercinta ini.

Apakah yang dimaksudkan dengan istilah “Profesional”? Kata profesional diadaptasi dari istilah Bahasa Inggeris iaitu profession yang bermaksud pekerjaan atau kerjaya. Secara ringkasnya, profesional diterangkan sebagai seseorang individu atau golongan yang bergiat dalam bidang profesyen seperti undang­-undang, perubatan, kejuruteraan, perakaunan dan lain-lain.

Mereka melakukan sesuatu pekerjaan/ profesyen/ bidang dengan menggunakan kepakaran, kecekapan atau kemahiran yang diperlukan dalam bidang yang diceburinya mengikut kod etika tertentu, diiktiraf oleh badan berkaitan dan ia melibatkan pembayaran di mana pekerjaan yang dilakukan secara profesional itu merupakan mata pencarian dan pekerjaan tetapnya.

Apakah pula yang dirujuk sebagai Budaya “Profesionalisme”? Profesionalisme ialah sifat-sifat (kemampuan, kemahiran, cara pelaksanaan sesuatu dan lain-lain) sebagaimana yang sewajarnya ter­dapat pada atau dilakukan oleh seorang profesional.

Secara mudahnya, profesionalisme adalah tingkah laku, kepakaran atau kualiti dari seseorang yang profesional. Ia juga melibatkan hal seputar perancangan berstrategi, keberkesanan tindakan, kejujuran penilaian (muhasabah) selain budaya-budaya baik seperti menepati janji, menepati masa dan pastinya menepati kehendak syara'.

Penulisan ini akan memfokuskan bagaimana golongan profesional mampu memainkan peranan memperkasakan PAS. Ia juga menyentuh kepentingan budaya profesionalisme dalam kalangan semua ahli yang mementingkan ilmu, hujah, data dan fakta dalam segala percakapan, penulisan, tindakan, aktiviti dan program.

Kesemua ini penting dalam usaha memperlihatkan PAS sebagai ‘government in waiting’ yang bersedia untuk menerajui tampuk pemerintahan Malaysia selari dengan gagasan Wawasan Induk Negara (WIN).

Pada Sabtu, 25 Jun 2016 telah diadakan Young Profesional Forum anjuran Jabatan Pembangunan Graduan (JPG) dan Jabatan Profesional Muda (JPro) Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM).

Program bertempat di Kompleks Tarbiyah Darul Hidayah Hulu Langat ini dihadiri 138 orang peserta dan sekitar 15 orang panitia dan fasilitator.

Melalui program tersebut telah dibentuk kluster mengikut bidang masing-masing termasuklah Kejuruteraan, Perubatan & Kesihatan, Sains & Teknologi, Undang-undang, Ekonomi, Teknologi Maklumat (IT), Pengajian Islam, Pendidikan & Perguruan, Sains Sosial dan lain-lain. Ini adalah sebahagian daripada usaha ke arah menganjak peranan profesional dalam PAS.

Semua Ahli PAS perlu mempertingkatkan kualiti diri sebagai ahli Gerakan Islam melalui pelbagai program pentarbiyahan di semua peringkat. Di dalam memposisikan golongan profesional di dalam PAS, terdapat tiga (3) perkara utama yang boleh sama-sama kita usahakan.

Pertama, ILMU. Semua ahli profesional hendaklah dapat menguasai, yakni secara minimanya berwawasan mengenai ilmu berkaitan dengan bidangnya. Kedua, KEMAHIRAN. Ahli profesional hendaklah benar-benar ahli di dalam bidangnya.

Ketiga, BUDAYA. Ahli profesional hendaklah bukan hanya pintar dan bijak dalam bidangnya, akan tetapi haruslah juga mematuhi kod etika yang ditetapkan iaitu menerapkan budaya profesionalisme dalam kerjaya dan juga dalam gerak kerja jamaah.

Saya melihat ada beberapa peranan yang wajar dimainkan oleh golongan profesional di dalam PAS. Yang pertama, golongan profesional hendaklah terlibat secara langsung dengan parti sebagaimana ahli-ahli yang lain hatta lebih lagi.

Apa juga profesyen seseorang itu, semua kita hendaklah melibatkan diri secara terus dengan gerak kerja jamaah di pelbagai peringkat khususnya bersama akar umbi. Masanya telah tiba untuk kita menyinsing lengan bersama membangunkan jamaah.

Ini termasuklah menjadi sebahagian daripada mereka yang terlibat dalam kepimpinan di peringkat Cawangan, Kawasan, Negeri dan Dewan-dewan. Golongan profesional hendaklah tidak menjadi terlalu eksklusif dan elitis, bahkan mestilah larut dengan gerak kerja turun padang bersama semua ahli tanpa mengira latarbelakang sosial dan pendidikan.

Yang kedua, golongan profesional juga diharapkan membantu secara proaktif membangunkan Jabatan, Lajnah dan Agensi PAS yang berkaitan.

PAS Pusat mempunyai 25  Lajnah, Jabatan, Agensi, Akademi dan Jawatankuasa keseluruhannya. Sebahagian lajnah dan jabatan ini menuntut penglibatan dan komitmen profesional dan teknokrat untuk menggerakkannya secara aktif.

Sebagai contoh, PAS Pusat telah mewujudkan Jabatan Kesihatan PAS yang mana doktor-doktor, ahli farmasi, ahli bioteknologi dan yang berkecimpung dalam bidang perubatan dan kesihatan diharap bersama membangunkan jabatan ini.

Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (LUHAM) pula menuntut keterlibatan para peguam serta mereka yang terlibat dengan bidang perundangan dan kehakiman.

Seterusnya, Lajnah Ekonomi menyeru penglibatan mereka yang terlibat sebagai akauntan bertauliah, pakar ekonomi, usahawan, penasihat kewangan, eksekutif pembangunan aset dan hartanah, penasihat takaful, peneraju wakaf, pegawai perbankan dan yang berkaitan dengannya.

Demikian jugalah dengan Jabatan Teknologi Maklumat, kita memerlukan pakar IT, pembangun perisian (software), pakar telekomunikasi dan sebagainya untuk terlibat sama dalam mempersadanya.

Di peringkat Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), kita mempunyai 28 Lajnah, Jabatan, Akademi dan Agensi. Jabatan Profesional Muda (JPro) adalah jabatan khas yang bertujuan mengumpulkan semua profesional di usia belia dari pelbagai lartarbelakang dan kepakaran.

Antara projek JPro yang telah terlaksana, sedang berjalan dan akan dianjurkan termasuklah MyHackathon, Teh Tarik Session For Malaysia, Young Profesional Forum dan Simposium Profesional Kebangsaan.

JPro juga akan menganjurkan ICYTech Conference bersama Jabatan Strategik DPPM yang akan membincangkan secara khusus idea Kerajaan Teknokrat yang dilontarkan oleh Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.

Akademi Kepimpinan Pemuda (AKP) pula membangunkan modul untuk melatih Ahli PAS khasnya Pemuda dengan ehwal berkaitan kepimpinan, pengurusan dan ilmu berkaitan organisasi.

Ia digerakkan oleh mereka yang terlibat dengan industri motivasi dan pembangunan insan. AKP turut terlibat dalam pembangunan High Potential Talent (HPT).

Sebagaimana di PAS Pusat kita mempunya LUHAM, di peringkat Pemuda kita mempunyai JUHAM yang mana Jabatan ini merupakan himpunan peguam yang membantu PAS dalam perkara-perkara berkaitan undang-undang dan hak asasi manusia.

Selain 3 Jabatan dan Akademi di bawah DPPM yang disebutkan secara spesifik tadi, golongan profesional juga boleh menawarkan diri dan memilih mana-mana 25 Lajnah, Jabatan dan Akademi DPPM yang lain berdasarkan bidang kepakaran, minat dan hobi mereka.

Untuk Muslimat, Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) juga mempunyai organisasi yang hampir sama yang mana golongan profesional dalam kalangan wanita boleh menyumbangkan kepakaran mereka.

Yang ketiga, golongan profesional boleh memainkan peranan sebagai duta dan agen pemerkasaan parti dan transformasi imej.

Ini termasuklah dengan mewujudkan badan-badan bukan kerajaan (NGO), badan-badan pemikir (think tank) atau perkumpulan sosial berkaitan profesyen masing-masing yang menjadi proksi kepada jamaah.

Peranan yang boleh dimainkan oleh badan-badan ini termasuklah memberi cadangan terhadap penyelesaian kepada masalah utama negara termasuklah dalam segmen politik, ekonomi, pendidikan dan sebagainya.

Ini juga dapat membantu gagasan WIN dalam pembangunan Negara Model dan Masyarakat Model yang ada padanya nilai-nilai hidup Islam yang menjadi tujuan PAS sepertimana termaktub dalam Perlembagaannya.

Yang keempat dan tidak kurang pentingnya, golongan profesional perlu berpartisipasi menjadi agen penerangan PAS. Sebagai agen penerangan parti, kita hendaklah menghidupkan budaya profesionalisme di mana segala perasaan, percakapan dan tindakan kita adalah berdasarkan ilmu, hujah, data dan fakta aqli dan naqli.

Ini boleh dilaksana dan diterjemahkan sama ada dalam bentuk penulisan, pengurusan media dan menghidupkan budaya wacana.

Antara usaha yang saya kira sewajarnya dipuji ialah Team Profesional Istiqamah (PI). Pasukan Profesional Istiqamah (PI) terdiri daripada sekumpulan profesional muda graduan pelbagai universiti United Kingdom dan Ireland.

Mereka melakukan inisiatif untuk mengadakan kempen Profesional Istiqamah dengan tujuan untuk menyatakan solidariti dan kebersamaan bersama PAS. Saya turut dijemput menjadi ahli bersekutu kepada pasukan PI.

Halaman Facebook Profesional Istiqamah telah diwujudkan khusus sebagai salah satu daripada medium penyampaian untuk memperkenal dan mempromosikan idea-idea segar untuk dimatangkan. Tujuannya adalah untuk membina Negara Malaysia Sejahtera berlandaskan prinsip-prinsip Islam.

Boleh layari laman Facebook PI di pautan berikut: https://www.facebook.com/profesionalistiqamah/.

Secara khulasahnya, jika semua ahli profesional PAS dapat melaksanakan empat cadangan di atas, saya yakin dan percaya kita mampu menggerakkan jamaah yang kita sayangi dengan lebih mantap dan tersusun rapi.

Bersamalah kita memacu perjuangan ini menuju mardhatillah. Apabila kita menyebut mardhatillah, ia adalah cita-cita menggapai redha Allah dan untuk mencapai al-falah yakni kemenangan dunia dan Akhirat. Ya, kombinasi kejayaan dunia dan Akhirat: Cemerlang di dunia dan bahagia di Akhirat!

Saya memilih untuk istiqamah pada jalan ini. Saya juga memilih untuk memperkasa jamaah dan berusaha sedaya mungkin atas kapasiti yang termampu membangunkan agenda Islam.

Mudah-mudahan jika tidak berjaya di zaman kita, semoga dengan ikhtiar hari ini menjadi sebahagian jalan untuk generasi penerus perjuangan melihat tertegaknya Daulah Islamiyah yang diimpikan!

Ayuh menjadi sebahagian daripada penyelesaian masalah dan tidak terus hanyut dengan masalah atau menjadi sebahagaian dari masalah. Jalan ini jalan panjang. Meski cahayanya cuba dipadamkan, namun sinar di hujung lorong semakin bersinar dan kian hampir.

Semoga Allah redha dan permudahkan urusan menuju kemenangan. 'Isy azizan aumut syahidan. Hidup mulia atau mati syahid. – HARAKAHDAILY 8/8/2016

Penulis merupakan AJK PAS Pusat, Bendahari Dewan Pemuda PAS Malaysia dan Setiausaha PAS Negeri Sarawak. Penulis juga merupakan Jurutera Kanan di sebuah syarikat minyak dan gas antarabangsa.

Share on Myspace