Undang-undang takzir upaya banteras skim cepat kaya

ZAHARUDIN MUHAMMAD | .

BERITA hari ini, 5 guru di tahan melibatkan kesalahan skim cepat kaya, 50,000 mangsa dan kerugian mereka mencecah RM50 juta. Manakala BNM pula menyenaraikan sebanyak 221 syariakt pelaburan tidak sah. Persoalan yang perlu dirungkaikan ialah kenapa perkara ini tiada kesudahan sekalipun sekian banyak syarikat yang disita sejak sekian lama?

Tindakan undang-undang terhadap penganjur skim cepat kaya memangsakan mangsa dan menambah pendapatan kerajaan dan menguntungkan penganjur. Dalam satu skim yang saya pernah ceritakan sebelum ini, di mana kerajaan telah menyita sebanyak RM3 juta manakala 7 juta lagi tidak dapat dikesan oleh pihak berkuasa menjadikan jumlah kutipan keseluruhan sebanyak RM10 juta.

Dalam kes seperti ini, RM3 juta yang telah dirampas menjadi milik kepada kerajaan manakala mangsa pula akan kehilangan terus wang pelaburan mereka (ditipu oleh skim cepat kaya).

Modus operandi yang saya tahu, skim penganjur cepat kaya tidak menyimpan wang tersebut di bank melainkan bahagian untuk di sita oleh pihak berkuasa bagi 'menutup' operasi seterusnya melepaskan diri daripada semua pencarum.

Ini bermaksud, skim tersebut menyimpan di bank sebanyak RM3 juta manakala baki RM7 juta lagi adalah dalam simpanan penganjur (seperti di rumah kawan atau adik beradik). Kadangkala taukeh sebenar tiada dalam rekod nama syarikat manakala yang ditangkap hanyalah CEO dan 'tukang kempen'.

Dalam konteks sekarang, kerajaan tak akan cari lagi RM7 juta yang tiada dalam bank dan mereka yang ditangkap tidak diwajibkan memulangkan semula wang tersebut kepada mangsa mereka.

Di dalam Islam pula, sebahagian hukuman takzir bersifat penyempurna kepada hukum-hakam muamalat. Apabila hukum muamalat yang melibatkan penipuan, ia dianggap muamalat yagn baatil dan kesannya adalah fasakh.

Fasakh didefinisikan sebagai transaksi yang tidak pernah wujud yang membawa kepada semua wang yang telah dibayar mestilah dikembalikan kepada empunya asal.

Dalam kes skim penipuan cepat kaya, maka si penganjur mestilah memulangkan semua wang yang telah diambil kerana muamalat itu dianggap sebagai fasakh.

Memulangkan semula ini adalah perlaksanaan wajib dalam di dalam hukuman takzir bagi kes ini dan ia adalah hukuman pertama dan utama yang tidak boleh diabaikan oleh pihak kerajaan.

Hukuman ini tidak dianggap sebagai hudud justeru ia boleh ditambah seperti sebat, denda tambahan dan lain-lain hukuman yang difikirkan perlu oleh pihak pemerintah ke atas penganjur skim penipuan.

Sebagai contoh, jika skim cepat kaya telah mengutip sebanyak RM10 juta (menurut rekod kutipan), tetapi di dalam bank hanya terdapat RM3 juta sahaja manakala RM7 juta lagi tidak dapat dikesan. maka hukumannya menurut Islam:

1. RM3 juta perlu dipulangkan semula kepada mangsa menurut hukum Islam, manakala di dalam undang-undag konvensional ia menjadi milik kerajaan.

2. RM7 juta yang tidak dapat dikesan mestilah dipulangkan oleh penganjur skim cepat kaya kepada mangsa-mangsa secara paksa oleh undang-undang seperti dipenjarakan sehingga kesemua wang tersebut dipulangkan semula dan berkekalan dipenjarakan jika gagal berbuat demikian. Manakala paksaan pemulangan ini tidak berlaku dalam konteks undang-undang konvensional.

Penjara sehingga memulangkan wang orang ramai pernah dilaksanakan di zaman Umar b Abdul Aziz. Hukumanan seperti ini menjadikan sekali penganjur skim cepat kaya ditangkap dan dihukum, bukan sahaja penganjur serik tak akan buat lagi, bahkan mereka yang lain juga tidak berani untuk melaksanakannya.

Jika anda sebagai penganjur skim cepat kaya, sekali ditangkap anda akan mendapat RM7 juta yang telah disembunyikan berbanding jika ditangkap, anda akan dipenjarakan sehingga RM7 juta dikembalikan semula kepada mangsanya.

Jika RM7 juta tersebut hanya berbaki RM5 juta, bagaiaman isteri anda atau keluarga anda akan menebus anda daripada penjara kerana tunai yang tersimpan hanya RM5 juta manakala 2 juta lagi sudah digunakan untuk membeli ferrari dan banglo mewah?

Jika dijual ferrari sekalipun maka susut nilainya menjadikan anda masih tidak mampu membayar bakinya lagi sehingga isteri dan keluarga anda bekerja keras untuk menebus anda daripada penjara.

Senario kesan hukuman di atas menjelaskan kenapa undang-undang hari ini tidak mampu membenteras penganjuran skim penipuan secara besar-besaran dan bagaimana kita semua tanpa mengira kaum memerlukan kepada undang-undang Islam bagi menjadikan mangsa dijamin mendapat pembelaan dan penipu dihukum dengan berat dan menginsafkan.

Manakala dalam Islam, mangsa akan mendapat pulangan semula apabila pesalah ditangkap dan dihukum, penganjur tidak berani lagi menipu sebab dia akan rugi dan menerima akibat yang berat (dipenjarakan seumur hidup jika tidak mampu memulangkan semula kepada mangsanya) dan kerajaan tidak rugi apa-apa sekalipun kerajaan tidak berpeluang mendapat keuntungan daripada jenayah yang berlaku.

Bagi mereka yang menyatakan 'bangunkan ekonomi dahulu bukan undang-undang Islam' sebenarnya tidak memahami realiti bagaimana undang-undang Islam menjamin keadilan dan keselamatan ekonomi itu sendiri. – HARAKAHDAILY 8/8/2016

Share on Myspace