Kali kedua saya dikaitkan dengan PAN - Hishamuddin

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: "Ini adalah kali kedua saya dikaitkan dengan parti PAN," ujar Adun Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim dalam satu kenyataan, semalam.

Justeru, dengan perkembangan itu beliau mengira wajar untuk mengambil ruangan terhad ini untuk membuat penafian secara jujur dan beramanah agar ia tidak disalahertikan oleh masyarakat dan rakyat di dalam kawasannya.

Berikut kenyataan penuh beliau.

Semasa dalam perjalanan menuju ke Pejabat Perhubungan PAS Negeri Terengganu untuk  menghadiri mesyuarat precouncil Adun-Adun PAS Terengganu untuk persiapan Persidangan Dewan Undangan Negeri pada esok hari, saya dikejutkan dengan mesej sahabat pimpinan Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nurul Islam Yusuf yang melampirkan artikel The Star tulisan Joceline Tan yang bertajuk “Stirred  and shaken again” (http://www.thestar.com.my/opinion/columnists/analysis/2016/08/07/stirred-and-shaken-again/). Artikel tersebut mengaitkan nama saya sebagai calon Menteri Besar Terengganu pilihan PAN dan juga dikatakan serasi dengan PAN mengikut sumber yang diperolehinya.

Ini adalah kali kedua saya dikaitkan dengan parti PAN. Justeru, dengan perkembangan ini saya mengira wajar untuk mengambil ruangan terhad ini untuk membuat penafian secara jujur dan beramanah agar ia tidak disalahertikan oleh masyarakat dan rakyat di dalam kawasan saya.

Alhamdulillah, saya merupakan ahli PAS yang akan terus beristiqamah dengan perjuangan yang dipilih PAS dan berdoa kepada Allah SWT agar mengekalkan saya berada dalam perjuangan PAS yang sentiasa memandu perjuangan ahlinya berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah. Justeru, mengaitkan diri saya dengan PAN adalah suatu sikap yang tidak beretika dan sebaran ini perlu dihentikan. Kalaupun ia masih berlaku, ia merupakan satu tindakan bermotif jahat.

Cukuplah sebaran berita-berita seperti ini dihentikan kerana ia tidak memberi faedah untuk kepentingan ummah, rakyat dan negeri. - HARAKAHDAILY 8/8/2016

Share on Myspace