Iklan palsu jejaskan MPKB BRI

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Gara-gara iklan palsu jawatan kosong di Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB BRI) menyebabkan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu tidak putus-putus menerima panggilan daripada orang ramai.

Setiausahanya Nik Mohamed Noor Nik Ishak berkata, MPKB BRI tidak pernah mengeluarkan kenyataan mengenai iklan tersebut.

“Pihak kami mengambil kesempatan untuk memohon maaf di atas kekeliruan dan kesulitan yang sepatutnya tidak berlaku,” katanya dalam kenyataan di sini.

Baru-baru ini tersebar di laman sosial 15 jawatan kosong yang bermula dengan jurutera (J41) sehingga pembantu awam (H11).

Iklan itu bertarikh 3 Ogos 2016 dan tarikh tutup permohonan 17 Ogos ini.

Nik Mohamed Noor berkata iklan terbabit yang dihebahkan melalui media sosial telah memberi impak negetif kepada MPKB BRI.

“MPKB BRI menafi dengan sekeras-kerasnya dan amat kesal atas sikap segelintir individu yang menghebahkan iklan palsu kononnya ada jawatan kosong di MPKB BRI,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 8/8/2016

Share on Myspace