Rebut peluang Simpanan Shariah KWSP

HARAKAHDAILY | .

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) menggesa pencarum beragama Islam merebut peluang mendaftar dalam akaun Simpanan Shariah KWSP yang bermula hari ini. Ia adalah usaha yang telah diperjuangkan oleh ramai pihak termasuk PAS selama ini bagi memastikan dana simpanan dan pelaburan majoriti rakyat Malaysia khususnya yang beragama Islam mematuhi piawaian syariah.

Ia adalah usaha yang sangat baik untuk membantu para pencarum yang beragama Islam memilih jalan yang halal. Usaha ini merupakan perintis kepada perkembangan permodalan dana Syariah yang lebih baik lagi sepertimana yang pernah berlaku ketika penubuhan Bank Islam (1983) dan institusi takaful (1984). Berdasarkan kepakaran dan pelbagai kemudahan di Malaysia, tidak ada sebab inisiatif ini tidak wajar dilakukan malah ia boleh terus diperkembangkan lagi.

Oleh itu, DPPWP menyeru agar umat Islam khususnya segera mendaftar akaun Simpanan Shariah ini. Sekiranya permintaannya terlalu tinggi, maka pihak kami mencadangkan agar KWSP meningkatkan saiz dana patuh syariah kepada RM200 bilion.

Malah, praktis sebelum ini, lebih 45 peratus (RM295 bilion) daripada jumlah aset pelaburan KWSP telah patuh syariah. Oleh itu, jika permintaan caruman Simpanan Shariah sangat tinggi, maka DPPWP akan menyarankan agar jumlah dana tersebut terus dinaikkan secara berperingkat.

DPPWP turut mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada pihak KWSP kerana telah menjayakan inisiatif Simpanan Shariah yang akan berkuatkuasa pada 1 Januari 2017 nanti.

Semoga pihak KWSP terus memacu pertumbuhan yang kompetetif dan memperkenalkan kod pengurusan syariah yang lebih komprehensif. Ia selaras dengan hadith Rasulullah SAW yang menegaskan, “Mencari yang halal adalah fardhu bagi setiap orang Islam”.

MOHD FARKHAN MD ZIN
Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan
5 Zulkaedah 1437 | 8 Ogos 2016 - HARAKAHDAILY 8/8/2016

Share on Myspace