Pokemon: Pemuda PAS T'ganu sokong Mufti Wilayah

KHAIRUL AZLAM MOHAMAD | .

KUALA TERENGGANU: Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) menyokong pendirian yang dibuat oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri mengenai permainan ‘Pokemon Go’.

Timbalan Ketua DPPNT, Ustaz Hishamuddin Abdul Karim berkata pihaknya menyokong pendirian Mufti Wilayah itu dalam isu karakter pokemon dan aplikasi permainan pokemon go itu.

Ini kerana, katanya pandangan itu adalah terbaik buat masa kini bagi menangani masalah ‘ketagihan’ terhadap permainan tersebut demi ‘maslahah’ umum.

“Kita menyokong pendirian Mufti Wilayah Persekutuan. Jadi setakat ini isu ‘pokemon go’ satu isu yang hangat sekarang ini dan Mufti Wilayah telah membuat pendirian.  

“Walaupun banyak bantahan kepada Mufti Wilayah itu tapi pada pandangan kami itu antara yang terbaik diberikan oleh Mufti Wilayah untuk menangani ‘ketagihan’ terhadap permainan itu.

“Kita harap semua pihak bersikap terbuka demi kepentingan bersama dan pastikan kita membaca keseluruhan kandungan terhadap apa yang dinyatakan oleh Mufti Wilayah,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh.

Beliau berkata demikian kepada media ketika Persidangan Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu ke-13, semalam.

Menurutnya, aplikasi permainan Pokemon Go itu tidak dibenarkan kepada umat Islam atas faktor 'maslahah' dan kemudaratan. - HARAKAHDAILY 9/8/2016

Share on Myspace