Suara PAS cetus simpanan Syariah KWSP

IZWAN ABDUL HALIM | .

PANJANG masa yang diusahakan PAS dalam melontarkan kritikan, teguran dan cadangan hingga akhirnya Simpanan Shariah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan dilaksanakan mulai tahun 2017. Ia satu perjuangan untuk memastikan dana caruman hak milik rakyat khususnya Muslim diurus tadbir dalam kerangka Islam sebagaimana ditetapkan Allah SWT.

Penerimaan positif dan memberangsangkan daripada masyarakat pelbagai kaum dan agama pada pendaftaran bermula 8 Ogos 2016 menggambarkan prospek syariah kepada rakyat Malaysia. Dengan harapan wujud keterbukaan untuk lebih banyak praktikal syariah dijayakan pada aspek lain, termasuk agak kontroversi kini iaitu RUU355 Akta Mahkamah Syariah.

Hayati sepintas lalu beberapa butiran ringkas dan penting berkaitan KWSP ini untuk difahami secara umum serta peranan yang telah diluncurkan PAS.

Kedudukan Asas dan Isu Kontroversi:
i.Pelaburan KWSP berada dalam Sekuriti Kerajaan Malaysia dan Instrument Pasaran Wang di mana keduanya berasaskan riba;
ii.Sebahagian pinjaman korporat berasaskan riba dan terdapat pelaburan dalam Ekuiti yang tidak mematuhi syariah;
iii.Namun, KWSP tidak sekali-kali membuat pelaburan dalam sektor dikategori tidak beretika seperti saham perjudian dan arak, sektor pembuatan dan penjualan senjata untuk tujuan peperangan, serta pelaburan yang punya pendedahan dan kepentingan dengan negara tiada hubungan diplomatik bersama Malaysia seperti Israel;
iv.Tidak mengasingkan caruman pencarum mengikut agama, bangsa atau kaum;
v.Agihan dividen tahunan berdasarkan pendapatan kumulatif daripada instrumen pelaburan Islamik dan konvensional;
vi.Sebagai pengurus dana simpanan, KWSP tidak membayar zakat melibatkan simpanan pencarum Islam walaupun Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan dan Negeri menetapkan kewajipan berkenaan sebagaimana diamalkan Lembaga Urusan dan Tabung Haji

Pada tahun 2014, pelaburan KWSP berjumlah RM597 bilion. Pecahan pelaburannya adalah seperti berikut:
i.RM157 bilion dalam Sekuriti Kerajaan Malaysia;
ii.RM  13 bilion dalam Instrument Pasaran Wang;
iii.RM154 bilion dalam Pinjaman dan Bon Korporat;
iv.RM257 bilion dalam Ekuiti;
v.RM  14 bilion dalam Hartanah

Ringkasan Kronologi

26 Mei 2015: Ahli Parlimen Temerloh, Ustaz Nasrudin Hassan yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat mengemukakan soalan dalam persidangan Dewan Rakyat sama ada KWSP berhasrat memastikan caruman pencarum Muslim hanya dilaburkan dalam portfolio patuh syariah.

26 Mei 2015: Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan memaklumkan bahawa KWSP sedia menimbangkan untuk memberi pilihan kepada pencarum bagi memilih skim simpanan persaraan patuh syariah atau kekal dengan skim konvensional sedia ada. Menurutnya, inisiatif itu disasar untuk dilaksana pada tahun 2017. Katanya, Akta KWSP 1991 juga perlu dipinda bagi membolehkan pencarum membuat pilihan selain menambah baik sistem pelaburan, caruman dan pengeluaran.

22 Oktober 2015: Diluluskan RUU Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (Pindaan) 2015 di Dewan Rakyat setelah perbahasan sejak 20 Oktober. Antara perkara penting pindaan adalah penubuhan Jawatankuasa Penasihat Syariah bagi menasihati Lembaga dan Panel Pelaburan dalam memastikan pengurusan akaun ahli KWSP mematuhi prinsip syariah termasuk caruman, pelaburan dan dividen. Nasihat Jawatankuasa Penasihat Syariah adalah mengikat Lembaga dan Panel pelaburan menurut Seksyen 23D(2).

22 Oktober 2015: Ketua Penerangan Ulamak PAS Pusat, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali at-Takiri yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus menyifatkan pindaan Akta KWSP (2015) bakal menyelamatkan caruman orang-orang Islam daripada terlibat dengan pelaburan haram.

22 Oktober 2015: Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas melahirkan harapan KWSP Islamik (KWSP-I) akan menjadi tabung simpanan persaraan terbesar di dunia dengan operasi patuh syariah.

21 Julai 2016: Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Shahril Ridza Ridzuan mengumumkan pendaftaran bagi pilihan simpanan persaraan baharu iaitu Simpanan Shariah yang dilancarkan bagi tahun 2017 akan membuka mulai 8 Ogos 2016 dengan dana permulaan RM100 bilion iaitu kira-kira 15% daripada aset pelaburannya sehingga Mac lalu yang berjumlah RM681.71 bilion.

21 Julai 2016: Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hassan yang juga Ahli Parlimen Temerloh merakam ucapan tahniah kepada KWSP kerana memperkenalkan skim Simpanan Shariah. Katanya, kesungguhan KWSP mengusahakan jalan keluar bagi menjamin pelaburan yang dibuat khusus daripada simpanan pencarum Islam agar patuh syariah itu amat wajar dipuji dan dicontohi.

25 Julai 2016: KWSP memaklumkan bahawa Simpanan Shariah dilaksanakannya tidak mengguna pakai perbankan konvensional dalam portfolio pelaburannya. Bagaimanapun, strategi pelaburannya masih berpandu kan model Alokasi Aset Strategik (SAA) dengan objektif untuk melindungi dan meningkatkan nilai persaraan ahli.

8 Ogos 2016: Pendaftaran Simpanan Shariah di semua kaunter KWSP seluruh negara dibuka kepada pencarum tanpa mengira latar belakang agama dan bangsa. Ia akan diurus dan dilabur secara Akad Wakalah dengan kadar dividen akan diisytihar berdasar prestasi sebenar pelaburan patuh syariah. – HARAKAHDAILY 9/8/2016

Share on Myspace