Usul LPT2 untuk kepentingan rakyat - Adun PAS

KHAIRUL AZLAM MOHAMAD | .

KUALA TERENGGANU: PAS melahirkan rasa terkilan kerana usul yang berkepentingan bagi rakyat tidak sempat dibawa ke persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu kerana tidak dipilih oleh speaker.

Pembawa usul itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sura, Wan Hapandi Wan Nik berkata beliau tidak terpilih bagi membawa usul tergempar itu kerana pihak Speaker Dun memilih usul yang dibawa oleh wakil kerajaan.

Menurutnya, alasan yang diberikan oleh pihak Speaker Dun, Datuk Zubir Embong kerana  melihat wakil kerajaan, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar lebih dahulu bangun.

Justeru, katanya usul yang hendak dibawa kepada dewan adalah berkepentingan bagi rakyat.

“Saya mewakili PAS Terengganu telah cuba membawa satu usul kepada dewan agar persidangan Dun hari ini dapat membincangkannya. Usul saya itu berbunyi: Bahawa persidangan hari ini hendaklah ditangguhkan mengikut Fasal 30 Peraturan-peraturan Mesyuarat Dewan Undangan Negeri bagi membolehkan Dewan mulia ini merundingkan isu kutipan tol pada Lebuhraya Pantai Timur Fasa II (LPT2) yang telah dikuatkuasakan oleh kerajaan bermula 15 Julai 2016 lalu.

“Kita mencadangkan supaya pihak kerajaan negeri dapat menangguhkan kutipan tol ini memandangkan prasarana atau infrastruktur yang kini masih belum sempurna.

“Dan juga dari segi keselamatan LPT2 itu sendiri dengan kehadiran haiwan seperti lembu, kerbau dan sebagainya juga boleh membahayakan pengguna lebuhraya berkenaan.

“Itu usul yang saya hendak bawa ke dewan tadi tetapi pihak kerajaan (speaker) sendiri telah mendahulukan wakil kerajaan untuk mengemukakan usul lain,” ujarnya kepada media ketika Mesyuarat Kedua Penggal Keempat, Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu ke-13, berhenti rehat, semalam.

Sehubungan itu, beliau mendesak agar pihak kerajaan segera menyempurnakan segala kemudahan dan infrastruktur yang diperlukan di LPT2.

Malah, katanya pihak pembangang tidaklah membangkang secara melulu melainkan demi kepentingan serta keselesaan rakyat.

“Jadi kita harap supaya pihak kerajaan dapat menyempurnakan infrastruktur yang masih belum sempurna termasuk kawasan Rehat dan Rawat (R&R), stesen minyak kekal dan pelbagai kemudahan yang sepatutnya.

“Kita tidak membangkang secara melulu kutipan tol ini, tetapi kita mahu segala kemudahan dan infranya sempurna.

“Kita juga mahu harga tol itu juga diturunkan dengan harga yang lebih ‘mesra’ kepada penggunanya. Harga 12 sen untuk setiap satu kilometer itu agak tinggi dan membebankan pengguna LPT2 itu.

“Apatah lagi, pembinaan LPT2 itu turut menggunakan duit kerajaan negeri Terengganu sebanyak RM1.8 bilion secara tidak adil oleh kerajaan pusat,” tegasnya. - HARAKAHDAILY 9/8/2016

Share on Myspace