Selangor rangka pelan induk pertanian, lonjak hasil negeri

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Selangor giat merangka pelan induk pertanian untuk tempoh 10 tahun ke arah inisiatif pembangunan pertanian jangka panjang.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Insfrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Zaidy Abdul Talib berkata, pelan tersebut merangkumi inisiatif meningkatkan hasil pengeluaran pertanian negeri.

“Secara dasarnya pelan induk ini menggariskan beberapa perkara yang perlu dilihat dan dikaji terutama sekali usaha meningkatkan hasil pertanian.

“Ini termasuklah hasil pertanian untuk makanan sayuran-sayuran, ternakan lembu, ayam pedaging dan akuakultur,” katanya dipetik SelangorKini.

Sebelum ini, Selangor menjadi penyumbang tertinggi KDNKK dalam negara, 5.2 peratus daripada pengeluaran tertinggi daripada hasil pengeluaran pertanian.

Perolehan tersebut sekali gus mendorong pentadbiran Menteri Besar meluluskan peruntukan sebanyak RM31.6 juta untuk program pembangunan pertanian.

Zaidy berkata, peruntukan tersebut menjurus kepada inisiatif galakan pertanian moden bersesuaian tema Belanjawan 2016, Smart Selangor.

Tambahnya, kerajaan negeri juga telah melaksanakan Program Agro Generasi Muda (Agrogems) kepada golongan belia berumur antara 18 hingga 40 tahun.

Inisiatif tersebut diwujudkan katanya sebagai komitmen kerajaan negeri membantu golongan muda untuk terlibat secara langsung dalam bidang pertanian negeri.

Share on Myspace