Simpanan patuh syariah KWSP: Langkah proaktif PAS

NURUL ISLAM MOHAMED | .

Ketika sesi soal jawab lisan bertarikh 26 Mei 2015, ahli Parlimen PAS dari Temerloh, Nasrudin Hassan telah mengutarakan soalan mengenai cadangan portfolio pelaburan patuh syariah terhadap pencarum KWSP.

Dalam respons balas daripada Timbalan Menteri Kewangan ketika itu, Datuk Ahmad Maslan sendiri mengakui hanya 40 peratus iaitu bernilai lebih daripada RM250 bilion daripada keseluruhan aset pelaburan KWSP dilaburkan mengikut skim pelaburan patuh syariah. Malah, dalam jawapan lisan yang sama, Kerajaan sedang melaksanakan kajian dan bersedia mempertimbangkan pilihan skim simpanan patuh syariah bermula 2017.

Penubuhan skim tersebut diakui bukanlah langkah yang mudah apatah lagi ia akan menjadi antara skim persaraan terbesar di dunia yang akan menjalankan transaksi secara patuh syariah. Maka, penelitian dan kajian terperinci sangat dialu-alukan bagi menghadapi proses yang sangat rumit ini. Di samping itu, ia juga memerlukan proses pindaan Akta KWSP 1991 di Dewan Rakyat.

Dalam soalan tambahan beliau, Nasrudin mengutarakan pandangan mengenai penubuhan Majlis Penasihat Syariah kepada KWSP supaya proses menubuhkan skim simpanan patuh syariah itu dapat berjalan dengan lancar dan mencapai standard sistem kewangan Islam yang sebenar.

Selain itu, beliau juga berusaha mendapatkan penjelasan Timbalan Menteri mengenai pelaburan KWSP ke dalam syarikat pelaburan strategik 1MDB.

Akhirnya, selepas melalui proses kajian dan penelitian mendalam termasuk pindaan kepada Akta KWSP 1991 pada sesi Parlimen Oktober 2015, akaun KWSP-islamik diwujudkan bagi memenuhi hasrat pencarum beragama Islam di negara ini. Penubuhan akaun syariah ini mendapatkan sambutan yang begitu menggalakkan daripada pencarum terdiri daripada pelbagai agama dan bangsa pada hari pertama ia dilancarkan semalam.

Ternyata sistem kewangan Islam semakin mendapat tempat dalam masyarakat hari ini dan tidak mustahil - dan sedang menuju ke arah tersebut - sistem kewangan Islam akan dijadikan teras dalam sistem kewangan dunia kelak.

Transkrip penuh soal jawab lisan YB Temerloh bertarikh 26 Mei 2016

2. Tuan Nasrudin bin Hassan [Temerloh] minta Menteri Kewangan menyatakan sama ada pihak KWSP berhasrat untuk memastikan duit caruman pencarum Muslim hanya dilaburkan ke dalam portfolio pelaburan patuh syariah sahaja.

Timbalan Menteri Kewangan [Datuk Haji Ahmad bin Haji Maslan]:

Assalamualaikum, salam sejahtera, salam 1Malaysia. Tuan Yang di-Pertua, terima kasih kepada Yang Berhormat Temerloh. Simpanan atau tabungan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah untuk semua pekerja di Malaysia tanpa mengira agama, bangsa dan kewarganegaraan.

Oleh itu secara dasarnya, KWSP tidak mengasingkan pelaburan mengikut agama, bangsa dan kewarganegaraan ahlinya. Pengagihan dividen tahunan juga adalah berdasarkan pendapatan kumulatif daripada instrumen pelaburan Islamik dan Konvensional.

KWSP mempunyai garis panduan dan polisi pelaburan yang memenuhi mandat etika (ethical mandate) dengan izin di mana KWSP tidak membuat pelaburan di dalam sektor-sektor yang dikategorikan sebagai tidak beretika seperti saham-saham dalam sektor perjudian dan arak, sektor pembuatan, penjualan senjata untuk peperangan serta pelaburan yang mempunyai pendedahan dan kepentingan dalam negara-negara yang tiada hubungan diplomasi dengan Malaysia seperti Israel.

Ruang untuk pelaburan berlandaskan syariah adalah bergantung pada penawaran yang ada di pasaran. Walau bagaimanapun, sejak tahun-tahun kebelakangan ini potensi pelaburan sebegini telah mula berkembang dengan lebih banyak menawarkan produk-produk berasaskan pelaburan Islamik.

KWSP sentiasa memperkembangkan pelaburannya di dalam instrumen-instrumen berlandaskan syariah selaras dengan pertumbuhan aset pelaburan selagi pelaburan tersebut mematuhi peraturan-peraturan yang termaktub di bawah Akta KWSP 1991.

Setakat Disember 2014, lebih 40% atau lebih RM250 bilion daripada jumlah aset pelaburan KWSP adalah di dalam pelaburan berlandaskan syariah. Seperti yang diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri pada 23 April 2015, KWSP kini dalam usaha memperkenalkan inisiatif untuk memberi pilihan kepada ahlinya bagi memilih skim simpanan persaraan patuh syariah atau kekal dengan skim sedia ada konvensional.

Pelaksanaan inisiatif ini adalah disasarkan pada tahun 2017. Kita memilih tahun 2017 kerana perlu ada dibuat kajian pelaksanaan dan kaedah-kaedah yang perlu dilakukan. Yang kedua, kita perlu meminda Akta KWSP 1991 bagi membolehkan dibuat pilihan dan yang ketiga, kita perlu terus menambah baikkan sistem caruman, pengeluaran dan juga pelaburan.

Terima kasih.

SOALAN TAMBAHAN

Tuan Nasrudin bin Hassan [Temerloh]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih kepada Yang Berhormat Menteri di atas jawapan yang telah diberikan.

Terlebih dahulu saya juga ucapkan terima kasih kepada pihak KWSP yang telah menawarkan ruang penambahbaikan Skim Simpanan Tetap Pekerja dengan mengambil kira pandangan rakyat sepertimana kajian umum yang telah dibuat oleh pihak KWSP ini yang telah melibatkan 96,000 responden baru-baru ini yang saya lihat soalan asal yang saya utarakan tadi ialah untuk membawa hasrat sebilangan besar daripada pencarum yang beragama Islam yang mana saya ikuti dapatan kajian tersebut difahamkan 71% daripada pencarum ini bersetuju dengan cadangan KWSP untuk membenarkan caruman pencarum bertukar kepada simpanan persaraan patuh syariah.

Namun Tuan Yang di-Pertua sebagaimana yang disebutkan tadi hanya 40% daripada jumlah aset KWSP ini yang bernilai RM636 bilion terlibat dengan pelaburan patuh syariah. Selebihnya adalah konvensional.

Jadi soalan tambahan saya Tuan Yang di-Pertua, adakah pihak KWSP bersedia untuk membentuk satu jawatankuasa Majlis Penasihat Syariah secara serius untuk menangani perkara ini dan apakah langkah seterusnya untuk merealisasikan hasrat pencarum untuk pastikan simpanan dilaburkan dalam aktiviti-aktiviti yang patuh syariah khasnya daripada tindakan-tindakan dan aktiviti-aktiviti yang boleh dielakkan daripada riba sebab kita mengambil peringatan daripada Allah, [Membaca sepotong ayat Al-Quran] (bermaksud): “Wahai orang-orang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan jauhkanlah diri serta sebaiknya daripada saki baki riba sekiranya kamu beriman kepada Allah dan jika tidak kamu melakukan sedemikian ertinya kita telah mengisytiharkan perang dengan Allah dan juga Rasulnya”.

Satu lagi termasuklah juga Yang Berhormat Menteri untuk mengelakkan daripada pelaburan yang berisiko saya dapat maklumat daripada jawapan bertulis Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kepada rakan saya Yang Berhormat Pandan pada 18 Mei yang lalu bahawa  KWSP ini juga melabur dalam aset 1MDB seperti pelaburan anak-anak syarikat 1MDB yang berkait dengan penjana kuasa bebas dan juga pembelian bon 1MDB. Jadi semua pelaburan ini yang saya lihat pelaburan KWSP ini berjumlah RM1.72 bilion.

Jadi atas kedudukan 1MDB pada hari ini saya kira ini adalah satu bentuk pelaburan yang berisiko. Jadi saya mohon penjelasan daripada pihak Yang Berhormat Menteri.

Datuk Haji Ahmad bin Haji Maslan: Terima kasih, Yang Berhormat Temerloh. Kajian umum yang telah dibuat ialah pada 21 April sehingga 5 Mei tahun ini sama ada ahli bersetuju berapa banyak yang bersetuju untuk mengadakan pelaburan patuh syariah yang boleh dipilih oleh ahli. Sebagaimana yang disebut, 71% menyokong supaya diadakan pelaburan dan patuh syariah dan diberi pilihan kepada ahli. Daripada 96,000, 68,500 orang menyokong supaya diadakan pilihan itu.

Kemudian, memang benar aset KWSP RM636.53 bilion. Pada saat dan ketika ini 40%  sudah patuh syariah atau lebih RM250 bilion kalau saya boleh memberikan pecahan dari segi pendapatan tetap seluruh aset KWSP yang dilabur dalam pendapatan tetap simpanan dalam bank, bon, sukuk untuk jangka panjang 49% patuh syariah, 51% konvensional. Dari segi ekuiti ataupun saham-saham tersenarai domestik dan juga luar, 45% patuh syariah dan 55% konvensional.

Kemudian dari segi tunai short term, jangka pendek maksimum setahun 44% patuh syariah, 56% konvensional, itu pecahan. Saya telah sebut tadi bahawa langkah-langkah yang perlu dibuat antaranya ialah meminda akta, kita akan pinda akta ini dalam masa beberapa ketika ini supaya dibenarkan ahli membuat pilihan. Ahli KWSP ini ramai Tuan Yang di-Pertua, 14,192,832 orang ahli yang aktif yang mencarum dalam masa enam bulan terdekat ini jumlah 6,659,036 orang daripada majikan berjumlah 530,166 majikan di seluruh negara.

Mengenai pelaburan di 1MDB memang kita jangka soalan ini akan ditanyakan. Pertama, langganan bon terbitan 1MDB oleh KWSP pada tahun 2009 sebanyak RM200 juta. Ini dijamin sepenuhnya oleh kerajaan. Kemudian pada tahun 2003 lama dahulu, KWSP melabur di Panglima
Power Sdn. Bhd., IPP. Pada tahun 2005, KWSP melabur di Jimah Energy Ventures Sdn. Bhd., jumlah kedua-dua pelaburan ini ialah RM1.52 bilion. Pada tahun 2012, 1MDB mengambil alih Panglima Power Sdn. Bhd. Pada tahun 2014, 1MDB mengambil alih Jimah Energy Ventures jadi pada saat dan ketika ini pelaburan ini adalah pelaburan yang kecil risikonya.

Terima kasih.

Sumber: Hansard Parlimen Ketiga Belas, Penggal Ketiga, Mesyuarat Kedua, 26 Mei 2015.

Penulis ialah Timbalan Ketua DPP Wilayah Persekutuan

Share on Myspace