'Patuh syariah' untuk semua

HARAKAHDAILY | .

Soalan yang saya kemukakan di Dewan Rakyat pada tahun lalu kepada Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan, Alhamdulillah akhirnya diberikan perhatian serius oleh Kerajaan sehingga membawa kepada pindaan Akta KWSP sedia ada yang diluluskan pada tahun ini. Semalam, KWSP telah memulakan sesi pendaftaran bagi skim Simpanan Shariah yang akan berkuatkuasa pada Januari 2017 akan datang.

Berkenaan pelancaran skim Simpanan Shariah ini, saya sangat bersyukur dan gembira kerana beberapa perkara:

a) Kerajaan menunjukkan kesediaan dan berusaha untuk memastikan aspek patuh syariah ditegakkan dalam skim simpanan wang persaraan pekerja.

b) KWSP membuktikan komitmen yang tinggi dan tindakan yang proaktif dengan menggerakkan kempen secara meluas dan mengumumkan dana tambahan sebanyak RM20 bilion hingga RM30 bilion setahun.

c) Umat Islam menyambut baik dan memberikan sokongan kepada usaha ini yang boleh dilihat sebaik pengumuman mengenainya dibuat dan setelah kaunter pendaftaran mula dibuka semalam.

d) Orang-orang bukan Islam turut menunjukkan minat dan menyertai skim Simpanan Shariah ini kerana yakin dengan kebolehan dan keberkesanannya.

Saya meyakini bahawa aspek patuh syariah ini semakin mendapat perhatian, minat dan sokongan pelbagai pihak. Buktinya dapat dilihat jelas menerusi sistem kewangan dan perbankan Islam yang telah diperkenalkan sebelum ini dan terbaru menerusi skim Simpinan Shariah ini.

Saya optimis bahawa aspek patuh syariah ini juga akan mendapat sokongan dan penyertaan orang ramai dan pelbagai pihak jika dilaksanakan dalam bidang-bidang lain termasuk bidang perundangan di negara ini.

Saya juga percaya bahawa dogma 'patuh syariah' akan menyebabkan masalah dalam kalangan orang-orang bukan Islam adalah tidak benar dan sudah lagi tidak wujud; kerana 'patuh syariah' adalah rahmat untuk semua. - HARAKAHDAILY 9/8/2016

Penulis ialah Ahli Parlimen Temerloh yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat.

Share on Myspace