Simpanan Shariah KWSP, bukan hanya cari keuntungan

HARAKAHDAILY | .

Purata pulangan dividen KWSP (2000-2015) sekitar 5.5%. Meskipun negara berdepan kemelut ekonomi negara pada tahun 2008, KWSP tetap mampu memberi pulangan dividen sebanyak 4.5%.

Pelaburan KWSP konvensional memberikan jaminan dividen kepada pencarumnya sebanyak 2.5% setahun dalam apa keadaan sekalipun sepertimana yang termaktub pada Seksyen 27, Akta KWSP 1991. Ia sangat memberikan tahap ‘keselesaan’ terhadap pelaburan dan skim simpanan jangka panjang pencarum.

Isu pengurusan operasi dan pelaburan KWSP bertambah menarik dan dinamik apabila tinjauan survey yang dilakukan pada April 2015 menunjukkan sebanyak 71% responden mahu supaya KWSP memperkenalkan skim simpanan persaraan patuh syariah.

Terbukti, pada hari ini ramai pencarum berpusu-pusu ke seluruh cawangan KWSP untuk menukar akaun mereka kepada mod simpanan syariah meskipun mereka tidak dijamin dengan kadar dividen sebanyak 2.5% setahun.

Persoalannya, apakah yang mendorong pencarum beralih kepada simpanan syariah? Sudah tentu, mereka yakin bahawa kewangan yang diuruskan secara bebas riba’, gharar dan maysir pasti akan dijamin keberkatan serta keredhaan daripada Allah SWT. Perspektif mereka terhadap keuntungan menjangkau aspek material semata-mata. Inilah maqasid syariah yang dicari sekiranya hukum-hakam syarak yang berkaitan dipatuhi terlebih dahulu.

Tahniah juga kepada barisan panel pelaburan syariah KWSP yang terdiri daripada barisan ulama mu’amalat kerana telah berusaha merencana agenda yang mulia ini.

Pelaksanaan syariah tidak boleh berjuzuk atau selektif. Ia mesti meliputi segenap kehidupan manusia sama ada dalam aspek politik, ekonomi dan sosial. Pelaksanaan syariah yang betul akan mencapai matlamat syariah (maqasid syariah) yang sebenar iaitu untuk membawa kemaslahatan, menolak kemudaratan, mengundang kebaikan di dunia dan di akhirat serta mendapat keredhaan Allah.

Jika majoriti rakyat yakin dengan pengurusan operasi dan pelaburan KWSP yang berteraskan syariah, maka mengapa tidak rakyat juga memberikan keyakinan terhadap pindaan Rang Undang-Undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau RUU 355?

Pindaan RUU 355 bukan segala-galanya mengenai hudud, qisas dan ta’zir. Ia adalah sebahagian kecil usaha PAS untuk memartabatkan institusi dan peranan Mahkamah Syariah serta hukuman sedia ada setelah lebih 30 tahun tiada apa-apa pindaan. Sudah tentu, usaha yang kecil ini adalah untuk memastikan ia selaras atau lebih menepati hukum-hakam syarak di samping untuk mengecapi hikmah syarak yang tersirat disebalik pelaksanaannya.

Saya percaya keinginan rakyat terhadap pindaan RUU 355 ini juga melangkau kepentingan dunia, iaitu dengan memburu keredhaan Allah yang lebih utama.

KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
6 Zulkaedah 1437 | 9 Ogos 2016 - HARAKAHDAILY 9/8/2016

Share on Myspace