Tegak syariat: Orang kata PAS lambat kalahkan Umno BN

USTAZ ROSLI ABDUL JABAR | .

Yang PAS nak, ialah Islam menang, bukan PAS. PAS cuma peralatan atau jentera yang bekerja untuk Islam menang. Sampai bila? Sampai Islam menang.

Bukan semestinya PAS memerintah baru disebut Islam menang, sesiapapun memerintah jika ia melaksanakan Islam secara keseluruhannya maka itulah kemenangan Islam.

Tanggungjawab PAS ialah berdakwah dan sebagai wadah politik Islam bagi tujuan menegakkan sistem Ilahi yang pastinya akan memberikan keadilan kepada semua manusia tanpa mengira bangsa dan agama.

Islam itu agama, agama itu ilmu, ilmu perlukan kefahaman, untuk faham wajib belajar, maka dakwah itu ialah mengajar dan memberi faham kepada yang tidak faham.

Bila faham barulah timbulnya keyakinan pada Islam, bukan yakin kepada yang lain. Bila dah yakin maka ia akan mencetuskan semangat berkorban dan berjuang untuk menegakkan Islam. Bukan semangat kepada yang lain.

Pengorbanan akan sia-sia jika tiada diberikan pahala, dan tiadalah pahala jika tidak dilakukan kerana Allah swt dan tiadalah sesuatu itu dilakukan kerana Allah melainkan bertepatan dengan syariat-Nya. Syariaat itulah yang hendak ditinggikan, bukan dirinya.

Syariat itu yang mengawal PAS, bukan sebaliknya. Syariat itulah yang mengarahkan PAS berjuang, PAS hanya menjadi suruhan syariat untuk tegakkannya, PAS cuma menjadi alat untuk tegakkan syariat bukan syariat menjadi alat PAS untuk kekuasaan politik.

Hari ini ada orang marahkan PAS, ada orang rimas kerana PAS nak tegakkan syariat Allah, orang kata PAS lambatkan kemenangan untuk kalahkan Umno BN jika terus menerus pertahankan prinsipnya untuk tegakkan syariat Allah.

PAS tak peduli semua tu, sebab yang kawal PAS ialah syariat bukan manusia. PAS bukan berjuang untuk tegakkan sebuah negara yang serupa dengan kerajaan Umno BN yang tidak laksanakan syariat Allah. Teramat rugi perjuangan begitu.

Yang PAS nak ialah tertegaknya syariat Allah. Syariat perintahkan kita supaya menyokong sesiapa sahaja yang nak tegakkan syariat-Nya, jika ada yang berhasrat untuk laksanakannya, PAS pasti akan sokong, kerana yang diperjuangkan oleh PAS adalah syariat-Nya. - HARAKAHDAILY 9/8/2016

Penulis ialah Pesuruhjaya PAS Pahang yang juga Adun Tanjung Lumpur.

Share on Myspace