KWSP: Peranan PAS dalam penyelesaian ummah

HARAKAHDAILY | .

Tuntutan sistem pentadbiran, muamalat, munakahat, jenayah dan pengamalan cara hidup berlandaskan syarak menjadikan PAS terus istiqamah dalam menasihat dan membangkang kerajaan.

Alhamdulillah, hasil dari desakan dan saranan PAS melalui YB Ustaz Nasruddin Hassan, Ahli Parlimen Temerloh pada 26 Mei 2016 ketika soalan lisan di Dewan Rakyat membuahkan hasil yang sangat baik apabila Skim Persaraan Patuh Syariah bagi KWSP telah dilaksanakan.

Kenyataan penuh tuntutan PAS ini boleh dibaca dalam pautan Perkongsian Dari Parlimen siri 17 di facebook beliau https://m.facebook.com/ustaztantawi/posts/10152793309422312

PAS memainkan peranan yang sangat penting dalam penggubalan polisi dan perundangan berlandaskan syarak. Tuntutan mencari yang halal buat umat Islam serta mewujudkan persekitaran yang baik menjadikan PAS sentiasa berfikir solusi buat rakyat.

Kesediaan PAS bertindak sebagai check and balance kepada kawan dan lawan ini digarap kemas dalam budaya Politik Matang dan Sejahtera (PMS) demi membentuk Malaysia yang lebih aman dan sejahtera dengan mengutamakan kepentingan rakyat bukan mainan politik.

Rakyat Malaysia samada muslim mahupun bukan muslim sudah semakin cenderung kepada sistem ekonomi Islam seperti perbankan Islam, Takaful, pelaburan termasuk KWSP yang dilihat memberi lebih jaminan dan penyelesaian kewangan yang baik.

Besar harapan kini agar masyarakat menerima perjuangan mengukuhkan mahkamah syariah melalui RUU 355 yang turut disarankan oleh PAS demi menyelesaikan masalah jenayah yang semakin parah di Malaysia.

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak merakamkan ucapan tahniah kepada seluruh pimpinan dan ahli PAS di semua peringkat yang gigih siang dan malam dalam usaha memartabatkan Islam. Inilah penyelesaian yang kita tawarkan kepada masyarakat demi membina Malaysia yang lebih sejahtera.

Mohd Akmal Kamaruddin
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Perak
6 Zulkaedah 1437 / 9 Ogos 2016 - HARAKAHDAILY 9/8/2016

Share on Myspace