Pengorbanan jemaah haji bukti sebuah ketaatan

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria mengucapkan tahniah kepada semua bakal jemaah haji yang telah dipilih oleh Allah Taala pada tahun ini menjadi tetamu-Nya.

"Sesungguhnya pengorbanan jemaah haji untuk melaksanakan kewajipan ini adalah aspirasi nilai sebuah ketaatan kepada Maha Pencipta," ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya, demi melaksanakan tuntutan suci itu, mereka terpaksa meninggalkan keluarga, pekerjaan serta komitmen yang lain untuk menyempurnakan rukun Islam kelima.

Begitulah, ujar beliau resam dalam perjuangan, tatkala menginginkan redha Allah SWT segala-galanya perlu dikorbankan, sama ada harta, masa, keluarga untuk melihat Islam dipelihara serta mampu dinikmati untuk generasi akan datang.

Menurutnya lagi, manifestasi pengorbanan ini menjadi nadi dalam jiwa seorang hamba Allah SWT supaya dapat memahani nilai ketaatan kepada Allah Rabbul Jalil.

"Justeru, saya mewakili Badan Perhubungan PAS Perak mendoakan agar semua bakal jemaah haji dipermudahkan oleh Allah SWT dan memperolehi Haji Mabrur," ujarnya. - HARAKAHDAILY 9/8/2016

Share on Myspace