PAS Kedah sokong saman Sarawak Report

HARAKAHDAILY | .

LAPORAN Sarawak Report bahawa pemimpin PAS menerima RM90 juta daripada Umno berdasarkan 'kecurigaan yang meluas' yakni bukannya dari sesuatu bukti atau fakta, jelas bermotif jahat.

Ini kerana perbuatan tersebut dilakukan oleh sebuah media yang boleh disifatkan sebagai penyaalahgunaan medium. Malah, ia nyata bertentangan dengan etika profesionalisma entiti media. Oleh itu, ia layak dilihat sebagai satu jenayah.

PAS Negeri Kedah berpendirian bahawa sesuatu isu diketengahkan kepada masyarakat hendaklah berpaksikan maklumat yang tepat dan tidak semborono, kerana pemberitaan palsu akan menjadikan sesebuah organisasi itu terpalit dengan perkara tidak benar.

Mutakhir ini dilihat terdapat pihak-pihak tertentu menjadikan fitnah sebagai permainan, suka-suka atau olok-olok serta gurauan. Perkara seperti ini mesti segera dibendung kerana ia mengait integriti, maruah, reputasi bahkan keselamatan individu atau pihak lain.

Ia berpotensi besar mengundang ancaman dan keburukan terhadap pihak yang difitnah, sedangkan pemfitnah bersikap sewenangnya. Sehubungan itu kami merasakan wajar perbuatan seperti itu dihadapkan ke pengadilan undang-undang.

Maka, kami menyokong penuh kenyataan Timbalan Presiden PAS untuk mengemukakan saman ke atas Sarawak Report di atas laporan mereka yang telah mencetuskan tuduhan buruk kepada PAS, sekali gus merendahkan etika moral warga media.

USTAZ DR AHMAD FAKHRUDDIN SYEIKH FAKHRURAZI
Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah – HARAKAHDAILY 9/8/2016

Share on Myspace