Sejarah: Pesuruhjaya PAS Sabah terkorban

HARAKAHDAILY | .

PESURUHJAYA PAS SABAH TERBUNUH DALAM KEMALANGAN JALAN RAYA DI TAWAU (9 OGOS 2004)

PADA hari ini dalam tahun 2005, Pesuruhjaya PAS Sabah, Dr Datu Bandira Datu Alang telah terbunuh dalam satu kemalangan jalan raya di KM 22 Tawau, Sabah pada jam 1.20 pagi. Beliau bersama dua rakan dan seorang anak lelakinya yang berusia enam tahun mengalami kemalangan selepas kereta yang dipandu Pakcik Norbin terbabas dan melanggar penghadang jalan raya. Dr Datu Bandira baru pulang dari menghadiri satu mesyuarat parti di Bukit Garam, Kinabatangan pada malam 8 Ogos 2004 dan dalam perjalanan menuju ke Tawau kerana dijadualkan akan merasmikan satu program di Pasti Tawau pada pagi 9 Ogos 2004.

Dr Datu Bandira Datu Alang yang berasal dari Kampung Peladuk, Kota Belud telah dilahirkan pada 3 Januari 1958, telah menyertai PAS pada 1999 setelah mendapati perjuangan beliau bersama Umno sebagai sia-sia kerana parti tersebut dipenuhi amalan rasuah. Beliau pernah menjadi Ketua Penerangan Umno Bahagian Tawau, sebelum bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno Kota Belud. Setelah tewas dalam pemilihan parti kerana politik wang, beliau memilih untuk berjuang bersama PAS dan dicalonkan bertanding dalam Pilihan Raya Umum 1999 di Parlimen Kota Belud menentang Datuk Seri Panglima Mohd Salleh Said. Pada Pilihan Raya Umum 2004, beliau tewas kepada Tan Sri Pandikar Amin Mulia di Dun Tempasuk.

Sewaktu krisis dalaman Umno memuncak pada 1998 dan ramai ahli Umno menyertai Parti Keadilan Nasional (PKN) yang ditubuhkan pada 1999, Dr Datu Bandiri telah memilih berjuang bersama dengan PAS. Menurut beliau, minatnya bersama PAS timbul sejak PAS mula bertapak di Sabah pada 1986 lagi, dan telah mula menghantar anak-anaknya ke Pasti, walaupun beliau menjadi pemimpin Umno. “Melihat keadaan di Sabah ketika itu, majoriti ahli-ahlinya (PAS) dari Semenanjung, maka terdetik di hati saya bahawa penyertaan saya akan membawa erti yang besar terutama dalam diri saya yang amat cintakan gerakan Islam,” getus Dr Datu Bandira ketika mengenang penyertaan beliau dalam PAS. Pada 2001, beliau telah dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Sabah menggantikan Haji Mohammad Abdullah, setelah menjadi Ketua Penerangan PAS Sabah (1999-2001).

Beliau mendapat pendidikan awal di Kota Belud sebelum ke Sekolah Menengah Syed Ahmad, Arau dan mendapat ijazah dalam bidang sejarah di USM. Beliau kemudiannya belajar al-Manaf International, Manila, Filipina sehingga mendapat MA dan PhD dari Louisiana State University. Setelah berkhidmat sebagai guru dan pegawai Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Sabah, beliau terlibat dalam banyak kajian, penulisan, pembentangan kertas kerja tentang kajian kesusasteraan dan sejarah orang Melayu Iranun. Satu buku beliau, Iranun: Sejarah dan Adat Tradisi telah diterbitkan oleh DBP. Beliau aktif dalam kegiatan bahasa dan persuratan sehingga menjadi Yang Dipertua BAHASA Tawau dan Ahli Jawatankuasa BAHASA, selain turut menjadi Presiden Persatuan Bumiputera Iranun Sabah dan Pengurus Persatuan Usahawan Islam Malaysia.

Kerana sumbangan besar beliau dalam bidang persuratan, bahasa dan kebudayaan, beliau dianugerahkan ijazah Doktor Kehormat Persuratan (D.Litt) oleh Sto Nino Collegio, Mindanao. Setelah berhenti dari DBP, beliau menyertai Felda sebagai Pegawai Sumber Manusia sehingga 1984 dan bersara pada 1999 sebagai Pengurus Besar Sabah Fish Marketing (SAFMA). Persaraan ini membolehkan beliau terlibat dengan PAS yang berakhir dengan kematian mengejut beliau dalam kemalangan jalan raya pada pagi 9 Ogos 2004.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
9 Ogos 2016 - HARAKAHDAILY 9/8/2016

Share on Myspace