Harga PAS bukan RM90 juta

USTAZ ROSLI ABDUL JABBAR | .

TIDAK ada orang berjuang dalam PAS kerana nak duit, kalau ada pun tak lama akan duduk dalam PAS, lambat laun akan lari juga tinggalkan PAS sebab yang ditunggu tak kunjung tiba.

Dalam PAS ada orang kaya dan ada orang miskin, orang yang kaya biasanya masuk PAS setelah dia kaya, bukan dia kaya kerana dapat keuntungan daripada PAS, malahan harta kekayaannya dihabiskan untuk perjuangan PAS.

Orang miskin pun begitu, bukan dia miskin setelah masuk PAS, biasanya memang dia dah sedia miskin, namun walaupun dia tahu masuk PAS tak jadi kaya, namun dia tetap juga berjuang dan berkorban apa yang mampu bersama PAS kerana dalam PAS banyak peluang untuk menabung bagi merebut kekayaan Akhirat.

Tidak berbaloi RM90 juta itu dengan pengorbanan ahli, RM90 juta itu bukan bandingan langsung, semua ahli PAS tak pandang semua itu, kecuali orang yang diresapi hatinya dengan hasutan syaitan supaya menjual perjuangannya.

PAS sudah membayar dengan harga yang tidak ternilai, demi membeli tawaran daripada Allah, bukan sahaja duit malahan nyawa demi perjuangan Islamnya dan kerana menuntut redha-Nya.

Apalah sangat RM90 juta dan Putrajaya jika dibandingkan dengan redha Allah.

PAS tidak terliur pun RM90 juta itu, sebagaimana PAS tidak terliur dengan Putrajaya yang tidak melaksanakan Islam. Kalau dapat duit tidak dapat redha Allah, semua tidak bernilai disisi Allah. Redha Allah bukan boleh jual beli, bukan boleh tebus dengan harta.

Redha Allah bukan boleh ditinggal kemudian, mesti didahulukan dalam semua urusan sebelum membuat keputusan dan wajib seiring dengan amalan, bodoh sangat kalau orang kata "kita cari Putrajaya dulu, redha kita cari kemudian", kerana amalan itu bernilai disisi Allah apabila tujuannya kerana menuntut Mardhatillah.

Jangan ingat redha itu boleh dibeli setelah ada duit banyak, redha bukan barangan di pasar raya, bila ada duit boleh beli, redha juga bukan macam kuasa, apabila memerintah baru dapatkan redha.

Redha itu mesti bersama dengan semua tindak tanduk kita, tidak kira kita sudah memerintah atau belum memerintah. Kalau dapat RM1 tapi bersama redha Allah jauh lebih bernilai daripada RM90 juta atau Putrajaya yang tiada bersamanya keredhaan Ilahi. Redha tidak boleh dibeli walaupun memiliki lebih daripada RM90 juta.

Sebab itu PAS tidak peduli semua fitnah cerca apabila pertahankan prinsipnya. Redha Allah itu bersama Islam, itulah prinsip perjuangan PAS, sejak dulu hingga kini, tidak ada nilai langsung RM90 juta itu jika mahu ditukarkan dengan prinsip yang PAS pertahankan selama ini. – HARAKAHDAILY 10/8/2016

Penulis ialah Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang dan Adun Tanjung Lumpur

Share on Myspace