Tahniah Pandelela

HARAKAHDAILY | .

Dewan Muslimat PAS Negeri Sarawak (DMPNS) mengucapkan sekalung tahniah kepada Pandelela Rinong Pamg dan Cheong Jun Hoong yang telah berjaya mendapatkan pingat pertama Malaysia di Sukan Olimpik 2016 di Rio. Gandingan mantap ini telah memenangi pingat perak dalam acara 10 meter platform seirama wanita dengan mata 344.34.

Dilahirkan pada 2 Mac 1993, Pandelela yang baru berusia 23 tahun merupakan anak jati Sarawak, berasal dari keluarga Bidayuh di Bau. Beliau telah terlibat dalam bidang ini sejak berusia 7 tahun lagi dan telah memenangi pelbagai pingat dalam setiap acara yang disertai.

Pada Julai 2015 yang lalu, beliau sekali lagi menempa nama dengan menjadi atlet pertama Malaysia yang melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2016. Kejayaan ini diperoleh melalui usaha gigih beliau meraih pingat gangsa dalam acara 10 meter platform perseorangan di Kejohanan Akuatik Dunia FINA yang berlangsung di Kazan, Rusia.

Selaku anak Sarawak yang berjaya mengharumkan nama Malaysia di persada dunia, DMPNS turut berbangga dan mengajak anak-anak Sarawak untuk turut serta menaikkan nama negara dalam bidang dan kemahiran masing-masing. Diharapkan kejayaan Pandelela ini menjadi pemangkin untuk anak-anak Sarawak turut melakar kegemilangan di persada antarabangsa.

DMPNS juga mendoakan agar Pandelela dapat merangkul lebih banyak lagi pingat dalam acara terjun 3 meter papan anjal dan acara terjun 10 meter platform masing-masing bermula Jumaat ini dan Rabu hadapan.

Moga kejayaan mengiringimu Pandelela!

Hazliza Latip
Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Sarawak - HARAKAHDAILY 10/8/2016

Share on Myspace