Google Map: Palestin ‘hilang’, umat Islam digesa bersatu

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Dengan serangan terhadap Islam semakin nyata, umat Islam digesa bersatu bagi mematikan cubaan berterusan musuhnya.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama, Jawatankuasa Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi Negeri Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, tanpa kesepaduan dalam kalangan umat, negara-negara Islam dikhuatiri ‘tenggelam’ begitu sahaja.
 
“Kalau sebuah negara yang begitu besar pun akhirnya hilang dari Google Maps, ini boleh jadi realiti dan memerlukan perhatian kita.

“Ia bukan isu Palestin semata-mata, bukan mengenai Malaysia tetapi menyentuh Islam secara keseluruhannya,” katanya dipetik Selangor Kini.

Pada 25 Julai lalu, Barisan Wartawan Palestin melancarkan bantahan terhadap Google yang didakwa sengaja ‘membuang’ nama Palestin di Google Maps.

Semenjak itu, sentimen terhadap isu berkenaan meningkat di seluruh dunia dengan hashtag ‘PalestinIsHere’ juga menjadi trending sejak semalam di media sosial.

Google dalam satu kenyataan hari ini bagaimanapun mendakwa Palestin tidak pernah disertakan dalam pemetaan Google Maps.

“Namun, kami mengesan ‘bug’ (kesilapan) atau pepijat dalam Google Maps, dengan label ‘Tebing Barat’ dan ‘Gaza’.

“Kami sedang berusaha segera untuk mengembalikan label di kawasan itu,” kata Google.

Share on Myspace