Skim Dana-Sel: Peneroka bandar miliki rumah sendiri

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Seramai 118 peneroka bandar di Kampung Rimba Jaya, Shah Alam boleh menarik nafas lega apabila hasrat memiliki kediaman sendiri tercapai menerusi tawaran Skim Sewa Milik Kerajaan Selangor (Skim Dana-Sel).

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar negeri, Datuk Iskandar Abdul Samad, skim itu dilaksanakan selepas kerajaan negeri mendapati sesetengah golongan tidak mampu memiliki kediaman sendiri.

Memetik laporan Selangor Kini, beliau berkata, ia ekoran mereka disenarai hitam institusi kewangan dan berpendapatan rendah.

“Mereka ini adalah peneroka Kampung Rimba Jaya yang hendak dipindahkan di sini tetapi tidak dapat pinjaman bank ekoran pendapatan rendah, tiada dokumen lengkap dan disenarai hitam.

“Harga asal rumah ini RM42,000 tetapi kerajaan negeri tawar subsidi RM7,000 menjadikan harga jualan RM35,000 sahaja,” katanya pada Majlis Makan Tengahari Bersama Penerima Skim Dana-Sel di Pangsapuri Rimba Jaya, hari ini.

Pada masa sama, Iskandar berkata, skim itu menawarkan pelbagai kelebihan ekoran tiada deposit dikenakan.

Katanya, penyewa juga bakal memiliki rumah terbabit dalam tempoh 20 hingga 25 tahun selepas bayaran sewa selesai.

“Skim ini akan diperluaskan di kawasan lain bagi membolehkan lebih ramai golongan sama memiliki kediaman sendiri,” katanya.

Share on Myspace