PAS kemuka usul jamin hak Bumiputera

HARAKAHDAILY | .

PAS KEMUKA USUL MENJAMIN HAK BUMIPUTERA DI DEWAN RAKYAT (11 OGOS 1965)

PADA hari ini dalam tahun 1965, Ahli Parlimen Pasir Mas Hilir, Abdul Samad Ghul Ahmad Mianji telah mengemukakan satu usul kepada Dewan Rakyat supaya Perlembagaan Persekutuan dipinda bagi menjamin hak-hak Bumiputera dalam semua lapangan.

Abdul Samad Ghul Ahmad Mianji yang juga Pemangku Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat telah membawa usul ini ke persidangan Dewan Rakyat dan telah diterima untuk dibahaskan. Beliau membangkit masalah "undang-undang kerakyatan yang longgar dan jumlah penduduk-penduduk yang bukan Bumiputera melebihi peratusnya daripada Bumiputera sendiri adalah unsur-unsur yang maha penting yang menjadi atas kembimbangan (kaum Bumiputera di Malaysia)".

Dalam persidangan Dewan Rakyat pada 5 Oktober 1962, PAS pernah membawa usul untuk mempertegas bahawa "Tanah Melayu ini ialah dipunyai oleh bangsa Melayu," tetapi usul ini tidak berkesan kerana mereka menuduh PAS sebagai perkauman. Sedangkan kebimbangan PAS telah diluahkan oleh Yang Dipertua Agung PAS, Prof Dr Burhanuddin al-Helmy bahawa pembentukan Malaysia kelak "membahayakan kedudukan bangsa Melayu" dan "sedikit demi sedikit akan tenggelam di dalam tanah airnya sendiri".

Kemasukan besar-besaran bangsa asing melalui penubuhan Malaysia dianggap oleh PAS sebagai "satu helah politik yang halus" bertujuan untuk "menenggelamkan bangsa Melayu".

Di sebalik ingatan-ingatan PAS ini, pembentukan Malaysia telah membawa masuk hampir dua juta orang bukan Melayu dari Sabah, Sarawak dan Singapura sehingga jumlah orang bukan Melayu mengatasi orang Melayu. Untuk mengimbanginya, Kerajaan Perikatan menggunakan istiah "Bumiputera" iaitu penduduk asal Sabah dan Sarawak yang dicantumkan bersama orang Melayu.

Ia kemudiannya memberi kesan politik yang besar apabila pemimpin Singapura mulai meluaskan pengaruh mereka ke Semenanjung serta Sabah dan Sarawak yang membawa kepada penubuhan Malaysian Solidarity Convention (MSC) pada 9 Mei 1965 dengan slogan 'Malaysian Malaysia' dan bertindak mempertikaikan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan tentang hak istimewa orang Melayu. Parti-parti yang terlibat menubuhkan MSC ialah Parti Tindakan Rakyat (PAP) dari Singapura, United Democratic Party (UDP), People's Progressive Party (PPP), Sarawak United People Party (SUPP) dan Machinda Party dari Sarawak.

Pada 25 Mei 1965, Lee Kwan Yew telah membawa idea Malaysian Malaysia ke Dewan Rakyat kerana sejak penubuhan MSC mereka mengatakan Malaysia mengamalkan dasar "bully non-Malay". Ekoran tindakan chauvinis yang berterusan sehingga menggugatkan kestabilan negara, pada 9 Ogos 1965, Singapura telah dikeluarkan dari Malaysia.

Ekoran itu, serpihan PAP di Malaysia dikenali sebagai DAP. Keluarnya Singapura pada 9 Ogos 1965 ini menandakan bahawa MSC telah berakhir, tetapi perjuangan PAP terhadap agenda Malaysian Malaysia diteruskan oleh DAP. Walaupun pada prinsipnya PAS mahu Singapura kekal menjadi milik orang Melayu, tetapi terpaksa bersetuju melepaskan Singapura kerana tindakan chauvinis bangsa asing yang memudharatkan negara.

Dalam sidang Dewan Rakyat pada 9 Ogos 1965 ketika membahas usul mengeluarkan Singapura, Dato' Mohd Asri Haji Muda, Pemangku Yang Dipertua Agung PAS memulangkan paku buah keras kepada Kerajaan Perikatan yang meremehkan pandangan PAS dahulu termasuk menahan Dr Burhanuddin al-Helmy di bawah ISA.

Melihat ancaman yang berterusan terhadap hak-hak Bumiputera inilah, pada 11 Ogos 1965, PAS mengemukakan usul di Dewan Rakyat supaya diberi jaminan oleh Perlembagaan Persekutuan terhadap semua hak Bumiputera termasuk lapangan politik, ekonomi, pelajaran dan kebudayaan.

Usul Abdul Samad Ghul Ahmad Mianji ini telah disokong oleh wakil-wakil PAS seperti Dato' Mohd Asri Haji Muda (Pasir Puteh), Ustaz Abu Bakar Hamzah (Bachok), Ahmad Abdullah (Kelantan Hilir) dan Mohd Daud Abdul Samad (Besut).

Walau bagaimanapun, usaha PAS untuk menjamin hak-hak Bumiputera telah tewas dalam pengundian, di mana Dr Mahathir Mohamad (Kota Setar Selatan) menyifatkan pembelaan terhadap Bumiputera melalui jaminan hak ini akan menjadikan orang Melayu seperti Red Indian di Amerika Syarikat.

Namun, ternyata sesudah itu, tercetus tragedi perkauman yang berdarah pada 13 Mei 1969 akibat kelemahan dasar Kerajaan Perikatan dalam memperkukuhkan kedudukan orang Melayu dan Bumiputera.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
11 Ogos 2016 - HARAKAHDAILY 11/8/2016

Share on Myspace