RM90 juta: Siasat motif Sarawak Report

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) menggesa pihak polis menyiasat motif sebenar portal Sarawak Report (SR) yang telah menerbitkan satu artikel bertajuk, As Najib Denies All Over 1MDB, Let’s Not Forget His Many Other Criminal Connections pada 8 Ogos 2016.

Dalam artikel tersebut, SR telah mendakwa seperti yang tertulis, RM90 million is widely reckoned to have flowed into the top echelons of PAS in recent months.

"DPPWP mengambil serius dakwaan tersebut kerana ia membabitkan pertuduhan sogokan wang terhadap PAS," ujar ketuanya, Khairil Nizam Khirudin dalam satu kenyataan, semalam.

Oleh sebab itu, katanya DPPWP membuat laporan kepada pihak polis semalam bagi menggesa untuk dilakukan satu interogasi kepada pihak SR berhubung dakwaan berkenaan.

SR juga, ujar beliau diminta bertanggungjawab terhadap dakwaan tersebut kerana ia hanya berasaskan ‘suspicion’ dan ‘allegations had been widespread’.

Tambahnya, DPPWP tegas menolak sebarang tuduhan liar untuk menyahkan persepsi negatif terhadap kerjasama politik antara Umno dan PAS.

Katanya lagi, DPPWP konsisten menentang korupsi, salah guna kuasa, perkara-perkara mungkar yang dilakukan oleh kerajaan, dan boleh bermuzakarah dalam perkara-perkara yang membawa kepada kepentingan Islam, rakyat dan negara.

"Dalam kes skandal kewangan yang membabitkan 1MDB, kami sentiasa mendesak supaya mewujudkan satu Suruhanjaya Siasatan Diraja dan menolak intervensi kuasa luar dalam urusan politik negara," ujarnya lagi. - HARAKAHDAILY 11/8/2016

Share on Myspace