Pokemon Go Dedak 90j

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ | .

Ketika mantera jampi serapah bagi menghidupkan semangat 'Pokemon Go Dedak 90j' ditiup menggunakan sang bomoh baru SR yang berpangkalan di UK bagi menghancurkan kekuatan PAS, saya tidaklah berminat selain cuba menoleh kembali ke belakang melihat susunan panjang projek besar membuang PAS daripada persada politik negara.

Saya agak hairan melihat kesungguhan tahap 'jihad fi sabil at thaghut' oleh para penjual semangat dedak yang diratib awalnya oleh Tun Mahathir yang saya pernah doakan dan nasihatkan agar beliau lebih banyak kembali ke tikar sejadah atau kerap mengerjakan umrah di kota Mekah agar otak dan hatinya kembali lapang buat Islam menuju alam barzakh sebagaimana pesaing politik utamanya iaitu almarhum ayahanda tuan guru.

Akhirnya saya dapati bahawa ia adalah akibat rentetan peluru dan bom panas yang dilancarkan ke atas PAS sebelum ini sudah sejuk dan gagal merosakkan PAS.

Maka, agar rakyat kembali memburu dan menuding PAS sebagai punca kegagalan projek menjatuhkan BN, maka game Pokemon Go versi dedak 90j dimainkan dan bomoh baru dari UK dijemput untuk meniupkan mantera jampi serapahnya.

Antara kegagalan ketara peluru mereka sebelum ini ialah usaha mengecilkan PAS sebagai para tok lebai yang meminggirkan golongan profesional dan menjadikan penyingkiran dan pembentukan parti serpihan PAN sebagai bukti kebenaran hujah mereka.

Tetapi bukan sahaja ia adalah satu tuduhan dan kebatilan yang nyata, bahkan PAS kini bukan sahaja menjemput lebih ramai golongan profesional untuk lebih berperanan, bahkan PAS turut menerima kehadiran lebih ramai para ilmuan pemegang ijazah tertinggi bagi membantu PAS di semua peringkat terutama pada peringkat pembuat dasar dan polisi parti.

Di bawah adalah antara contoh jawaban yang baik oleh Saudara Muhtar Suhaili, Bendahari DPPM melalui tulisan terbarunya. Beliau adalah seorang jurutera muda anak Sarawak.

Jika anda membacanya dengan baik, anda akan dapati bahawa perihal 'dedak' adalah peluru baru yang terpaksa dilepaskan terhadap PAS kerana kegagalan serangan 'PAS anti profesional' sebelum ini.

Ia hanyalah ritual mantera menjemput ruh dan semangat jin-jin jahat dalam dunia khayalan dan fitnah.

Jika kita dinasihatkan agar menjauhkan diri dan anak-anak daripada permainan Pokemon Go, maka adalah lebih wajar kita pakat-pakat nasihatkan orang-orang tua dan anak muda daripada Pokemon Go versi politik fitnah dan karut marut ini. - HARAKAHDAILY 11/8/2016

Share on Myspace