Beri tanah Sarawak kepada rakyat, bukan pelabur asing

HARAKAHDAILY | .

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) mengikuti dengan dekat isu pengambilan pekerja asing dan ramai pekerja bukan rakyat Sarawak diambil bekerja dalam syarikat minyak dan gas yang semakin hangat dibincangkan.

Pada dasarnya PAS Sarawak bersetuju Kerajaan Sarawak menuntut hak diberi sama rata kepada rakyat Sarawak untuk diberi keutamaan bekerja di syarikat itu.

Perkara ini perlu dibincang secara profesional antara syarikat berkenaan dengan Kerajaan Sarawak dalam situasi menang-menang agar operasi syarikat tidak terganggu. Jutaan ringgit akan hilang disebabkan operasi terhenti dalam sehari.
 
PAS merasakan bahawa isu ini perlu dilihat secara holistik. Selain isu ramai pekerja bukan rakyat Sarawak diambil dalam syarikat minyak dan gas, kita juga dapati terdapat juga ramai tenaga mahir dan separa mahir dari luar diambil bekerja di sektor peladangan dan perindustrian termasuk juga profesional asing dalam GLC Kerajaan Negeri seperti Sarawak Energy dan CMS.

Kerajaan juga memberi keutamaan kepada pelabur asing untuk menggunakan buruh asing bekerja di syarikat mereka kerana mereka sanggup diberi gaji yang rendah daripada penduduk tempatan.
 
Isu pemilikan tanah untuk rakyat Sarawak terutama peribumi dan penduduk asal Sarawak juga perlu diberi perhatian oleh kerajaan Sarawak selain permit pekerja asing. Sehingga kini banyak tanah NCR yang bertukar status menjadi tanah zon campuran atau tanah kerajaan digunakan oleh pemaju dan pelabur asing menerokai tanah penduduk tempatan.
 
Kerajaan Sarawak sepatutnya memberi keutamaan kepada rakyat tempatan dan bumiputera Sarawak dahulu sebelum diberi kepada pemaju dan pelabur asing untuk dimajukan. PAS khuatir suatu hari nanti tanah dan hak milik rakyat Sarawak akan bertukar tangan kepada pemaju @ kapitalis dan pelabur asing yang menguasai ekonomi Sarawak.
 
Walaupun Kerajaan Sarawak mempunyai tanah yang luas tetapi berapa ramai rakyat Sarawak diberi hak milik oleh kerajaan Sarawak sehingga kini?

Mengapa sehingga kini masih ramai rakyat Sarawak tidak memiliki tempat kediaman sendiri dan tempat bercucuk tanam sendiri tanpa bergantung kepada kerajaan dan syarikat swasta untuk dibangunkan.

Masih ramai penduduk asal Sarawak yang masih menumpang dan menjadi penduduk setinggan di tanah air sendiri. Apa yang kerajaan lakukan untuk mereka ini?
 
Perkara inilah yang perlu diberi perhatian kerana tanah dan hutan adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Sarawak bukannya di bawah kuasa Kerajaan Persekutuan maka inilah masanya kerajaan Sarawak menggunakan hak mereka untuk membantu membangunkan rakyat Sarawak tanpa perlu campur tangan asing.
 
Begitu juga dengan isu pendidikan pengajian tinggi. Berapa ramai rakyat tempatan Sarawak yang mampu belajar di kampus atau universiti swasta di Sarawak dengan kos yang tinggi.

Walaupun universiti itu didirikan di Sarawak oleh syarikat swasta tetapi rakyat Sarawak yang kurang berkemampuan hanya mampu tengok dari luar saja dan hanya segelintir saja rakyat Sarawak yang mampu belajar di universiti swasta tersebut.
 
Kerajaan Sarawak sepatutnya memberi keutamaan kepada rakyat Sarawak terlebih dahulu dengan kuasa yang mereka miliki dengan memberi peluang kepada pelajar Sarawak yang kurang berkemampuan belajar di universiti swasta tempatan.
 
PAS menggesa kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem menyelesaikan dulu isu rakyat Sarawak yang masih belum memiliki hak milik tanah dan tempat untuk bercucuk tanam daripada menggunakan tanah rakyat peribumi untuk dibangunkan oleh pihak pemaju dan pelabur asing.
 
Kita berhak menuntut hak kita tetapi jangan lupa apa yang ada di tangan kita sekarang sepatutnya dijaga sepenuhnya bukan menggunakan peluang untuk menindas rakyat yang masih memerlukan tempat tinggal dan tempat mereka mencari rezeki dengan memberi keutamaan kepada pelabur asing.
 
Kalau sekarang ini hak milik rakyat peribumi sendiri masih gagal dijaga oleh kerajaan Sarawak bagaimana pula apabila sudah diberi kuasa sepenuhnya nanti?

Apakah jaminan rakyat Sarawak terbela sekiranya berlaku salahguna kuasa dan hak milik peribumi Sarawak masih dikuasai oleh orang asing yang ada kepentingan dalam negara ini.
 
Jangan kita cuba lari dari mulut harimau tapi masuk ke dalam mulut buaya, tanpa kita sedari pemainan pihak kapitalis untuk menguasai tanah air Sarawak dengan mengguna isu autonomi sedangkan kerajaan sekarang adalah diperintah oleh rakyat Sarawak sendiri bukannya orang luar.
 
PAS bersetuju bahawa kerajaan diberi kebebasan untuk mentadbir dengan cara mereka sendiri tetapi jangan biarkan sesiapa menyalahguna kuasa di masa akan datang jika ia terlalu lama memerintah sehingga hak-hak orang asal, hak-hak Islam akan dipinggirkan akibat daripada dasar yang tidak saksama dengan budaya rakyat Sarawak.

Siapa yang yang akan berkuasa nanti sekiranya hak milik rakyat peribumi Sarawak terlepas ke tangan pelabur asing @ kapitalis? Fikir-fikirlah.
 
JOFRI JARAIEE
Pesuruhjaya PAS Sarawak – HARAKAHDAILY 11/8/2016

Share on Myspace