Islam bukan hanya untuk PAS

USTAZ ROSLI ABDUL JABAR | .

PAS tidak kata orang lain tidak Islam dengan sebab orang tidak sertai PAS atau keluar dari PAS. Islam pun tidak kata begitu kepada orang lain selain daripada PAS.

Siapa sahaja boleh masuk PAS dan sesiapa sahaja boleh masuk parti mana yang dia hendak, bukan syarat benar Syahadah itu mesti masuk PAS dan bukan Syarat batal Syahadah itu apabila keluar PAS.

Banyak juga parti di Malaysia termasuk yang baharu ditubuhkan oleh Mahathir Mohamad dan Muhyidin Yassin. Dalam Negara yang beramal dengan demokrasi semua orang boleh memilih mana-mana parti yang dikehendaki.

Dasar parti terbentuk oleh ideologi orang atau kumpulan yang menubuhkannya. Orang yang menyertainya pula biasanya adalah orang yang memiliki fikrah atau pemikiran yang secocok atau cenderung dengan ideologi serta dasar parti yang dipilihnya.

Bagi ahli PAS, jika ditanya kenapa menyertai PAS, jawapannya adalah kerana PAS berjuang Islam dan kerana dasarnya. Orang yang cenderung memilih PAS biasanya orang yang cenderung pada agama.

Orang yang selalu ke Masjid, Surau dan Majlis ilmu inilah yang ramai menjadi amilin PAS, ini realiti.

Ada orang tanya dengan nada marah "Ingat Islam ni Allah turun untuk orang PAS sahaja?", pun saya menjawapnya 'tidak', kerana Islam untuk seluruh manusia di bumi, bukan Malaysia sahaja dan sedangkan PAS pula hanya ada di Malaysia tiada di Negara lain, mana mungkin tempat yang tidak ada PAS dikira tidak ada Islam.

Saya tidak menulis soal aqidah tapi soal kecenderungan, realitinya begitu, orang yang cenderung pada agama akan memilih agama dalam seluruh ruang kehidupannya termasuklah dalam soal memilih parti politik, kalau tidak semua, pasti ramainya begitu.

Orang yang bersama PAS suka bercakap soal agama, tidak kiralah dia profesional atau apa jua kerjayanya, apatah lagi ulama atau para asatizah, tua, muda, lelaki dan perempuan semuanya begitu. Orang berjiwa agama ini tidak peduli sangat pasal lain kecuali agama, kalau nak bagi alasan pun biar dengan alasan agama, orang PAS akan tolak alasan yang bukan agama, ini sikap ahli PAS.

Ahli PAS memilih PAS sebab yakin dengan Islam dan mereka pilih perjuangan PAS sebab prinsip perjuangan PAS yang tidak pernah tergadai daripada perjuangan untuk tinggikan syariat Islam. Ahli PAS yakin Islam yang diturunkan oleh Allah adalah sebaik-baik sistem untuk manusia.

Islam ini untuk semua, siapa sahaja dapat pahala apabila taat kepada Allah dan sesiapa sahaja berdosa apabila melanggar perintahnya, baik yang berparti atau tidak berparti. Dosa, pahala, salah dan benar bukan kita tentukan, tapi Allah SWT, dan Allah SWT dah bagi batasan dosa dan pahala itu, semuanya sudah terkandung dalam al-Qur'an dan Hadis Rasul-Nya.

Kalau tidak mahu salah, ikutlah al-Qur'an dan Hadis, itu yang semua kita faham dan kita sepakati. Bukannya dosa pahala itu macam cabutan nombor bertuah yang kita tidak tahu keputusannya, semuanya sudah tercatat di dalam al-Qur'an dan Hadis. Nak selamat Ikutlah perintah Allah SWT dan Rasulullah SAW, bukan ikut nafsu semata.

Sebab itu kalau tanya ahli PAS mengapa masuk PAS? Jawapannya kerana dasar PAS adalah al-Qur'an, Hadis, Ijmak dan Qias. Orang tidak suka, itu terpulang pada orang, kalau cadangan hukum Allah yang PAS bawa untuk dilaksanakan ditentang, PAS tidak kisah, yang PAS kisah ialah kalau nanti disoal kenapa tidak berusaha untuk supaya ia terlaksana.

Terpulang, kewajipan Islam bukan untuk PAS sahaja malahan untuk semua. – HARAKAHDAILY 12/8/2016

Share on Myspace