Pokemon Go: Kelantan akan putuskan Rabu ini

SALMAH MAT HUSAIN | .

KOTA BHARU: Kelantan akan membuat keputusan untuk melulus atau sebaliknya berhubung permainan realiti maya di telefon pintar Pokemon Go Rabu ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood, berkata ia akan diputuskan pada hari berkenaan pada mesyuarat exco.

“Insya-Allah kita akan buat kenyataan berkaitan dengannya (Pokemon Go) hari Rabu ini selepas mesyuarat exco,”ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas berucap pada majlis Mesra Raya Warga Radio Amatour Kelantan bersama Urusetia Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan  Sukan negeri hari ini.

Fattah berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung perkara itu. Lebih 200 orang hadir pada majlis kali kedua pernah diadakan untuk warga berkenaan.

Fattah  bagaimanapun berkata, Kelantan mengalu-alukan perkembangan terkini jika ia memberi manfaat pada masyarakat.

“Bagaimanapun biarlah ia sesuatu perkara yang memberi pendidikan pada masyarakat.

“Biarlah  sesuatu yang baru itu membentuk minda masyarakat, tidak leka dan sebagainya,”ujarnya.

Tambahnya, apa yang diharapkan kerajaan negeri sesuatu yang  terkini itu bukan sekadar permainan semata-mata, tetapi  ada manfaat dan tarbiah.

Baru-baru ini  Kedah menjadi negeri pertama mengeluarkan fatwa permainan itu sebagai haram.

Pada 1 Ogos lalu, Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri dalam kenyataannya berkata umat Islam dilarang bermain dengan permainan itu kerana ia melalaikan. – HARAKAHDAILY 12/8/2016

Share on Myspace