Bentang kejayaan Selangor sebelum Belanjawan 2017

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Pembentangan awal menghadapi persediaan Belanjawan 2017 merupakan langkah yang baik untuk rakyat negeri Selangor bagi mengetahui kendudukan terkini perancangan dan usaha kerajaan negeri sebelum ini, demikian menurut Pengerusi Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) Selangor Datuk Seri Mohamad Badri Abdul Rahman.

Katanya, satu langkah yang terbaik dengan melibatkan sekali idea-idea mahupun cadangan rakyat untuk persediaan belanjawan 2017 nanti, pasti cadangan yang bernas dapat diberikan rakyat jika mereka dapat meneliti status terkini kedudukan perancangan yang lepas.

"Setiap idea atau cadangan rakyat dibawah tidak boleh dipandang remeh kerana mereka yang lebih mengetahui apa yang mereka alami apatah lagi kemelut ekonomi negara yang semakin tertekan," katanya kepada Harakahdaily.

Tambahnya, sebagai sebuah parti politik Blok Ketiga, Ikatan berharap kerjasama antara Ikatan Selangor dengan kerajaan negeri dapat direalisasikan, hubungan ini secara tidak langsung dapat menjadikan Kerajaan Negeri Selangor sebuah kerajaan yang kukuh.

Beliau turut menyambut baik dan berterima kasih atas kejayaan pentadbiran Kerajaan Selangor dalam memastikan ekonomi negeri ini berada dalam keadaan baik dan memuaskan.

Ikatan Selangor turut yakin kerajaan negeri telah merangka satu pelan perancangan ekonomi yang jitu dalam usaha meningkatkan kadar pelaburan tanpa meninggalkan perancangan ekonomi untuk hidup rakyat.

"Usaha baik serta tanggungjawab ini merupakan satu langkah bijak serta kepedulian pentadbiran negeri dibawah kepimpinan Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang diamanahkan oleh rakyat pada pilihan raya yang lalu," katanya.

Justeru katanya, bagi memastikan perjalanan ekonomi serta kejayaan pentadbiran negeri ini, Ikatan Selangor meminta agar membentangkan kepada rakyat setiap kejayaan ekonomi serta perkembangan yang telah dirancang pada Belanjawaan 2016 yang lalu. – HARAKAHDAILY 12/8/2016

Share on Myspace