FGV: Beruang anak emas, peneroka anak pungut

NASRUDIN HASSAN | .

KRISIS yang melanda syarikat korporat Felda Global Ventures Sdn Bhd (FGV) masih diperkatakan sehingga ke hari ini. Daripada konflik kepimpinan yang menerajuinya sehinggalah kepada prestasi pasaran semasa dan kedudukan saham FGV yang masih kekal di bawah RM2.00.

Ketiadaan fokus yang lebih jitu bagi menyelesaikan masalah yang semakin membengkak, FGV pula sebaliknya dilihat menyalurkan sejumlah besar wangnya bagi kempen melindungi beruang matahari di Terengganu.

Fokus kerajaan bagi memulihkan kedudukan saham FGV merupakan suatu perkara yang sangat mustahak. Jika jutaan ringgit dapat disalurkan bagi menyelamatkan kepupusan spesies haiwan tersebut, apakah suatu yang terlalu sukar bagi kerajaan memenuhi harapan 100,000  peneroka yang pernah dijanjikan dengan keuntungan berlipat kali ganda hasil pelaburan daripada FGV suatu ketika dahulu.

Namun, persoalan yang masih tinggal tanda tanya adalah apakah langkah strategik kerajaan bagi meningkatkan prestasi pasaran saham yang pernah mencapai nilai RM5.39 pada awal-awal hari saham tersebut diniagakan pada 2012 yang lalu?

Apakah faktor tersebut benar-benar berpunca daripada kejatuhan harga komoditi dunia atau sememangnya krisis kepimpinan Felda telah mengalami 'deficit-trust' yang menyumbang kepada kesan negatif terhadap keyakinan para pelabur. Rakyat khususnya peneroka Felda berhak mendapatkan jawapannya. – HARAKAHDAILY 13/8/2016

Share on Myspace