PAS akan guna khidmat Peguam Diraja di London

NUR HASMIRA MOHAMAD | .

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agong PAS,  Datuk Takiyuddin Hassan pada sidang media Pengumuman Pengisytiharan Nama, Pendekatan dan Teras Perjuangan pada hari ini berkata PAS telah mengenalpasti badan Queen's Counsel (Q.C) atau lebih dikenali sebagai Peguam Diraja di London untuk membantu membawa kes laporan Sarawak Report ke mahkamah di England.

"Kita telah mengenal pasti Queen's Counsel (Q.C) iaitu Peguam Diraja di London yang pernah ada hubungan dengan kita (PAS) berhubung kes-kes sebelum ini dan kita jangka dalam waktu terdekat kita akan kaji dan failkan kes ini ke mahkamah, waktu terdekat itu ialah dalam tempoh satu bulan," kata beliau.

Q.C yang dimaksudkan adalah badan terkanan dari England yang suatu masa dulu pernah membantu PAS menyelesaikan kes berhubung dakwaan mengenai Tuan Guru Presiden PAS, Haji Abdul Hadi Awang adalah seorang pengganas.

"Ya, badan tersebut adalah orang Britain kerana pusat media Sarawak Report adalah di England, jadi kita memerlukan khidmat dan bantuan mereka," kata Takiyuddin.

Dalam satu kenyataan lain Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad mengesahkan berita tersebut.

"Alhamdulillah. Presiden Pas, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang memaklumkan di dalam Mesyuarat PAS Pusat bersetuju untuk saman Sarawak Report. Insya-Allah, Tuan Guru akan berhubung dengan peguam di UK yang membantu kes saman TGHH satu ketika dahulu. Jangan lupa kita terus berdoa agar Allah menunjukkan kebenaran dan membalas kerja buat Sarawak Report dan sekutunya," kata Idris. – HARAKAHDAILY 13/8/2016

Share on Myspace